Tuesday, 9 October 2012

Lesen Tujuh IPTS Ditarik Balik

Kementerian Pengajian Tinggi menarik balik lesen atau kelulusan tujuh Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) untuk mengambil pelajar luar negara kerana melakukan pelbagai kesalahan berkaitan pengurusan pelajar antarabangsa.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung berkata kesalahan termasuk melanggar undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.

"Kita mempunyai 169 IPTS yang dibenarkan mengambil pelajar antarabangsa, dan tujuh daripadanya ditarik balik lesen kerana gagal memenuhi syarat ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas bertemu pelajar dari Republik Rakyat China di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Likas, dekat sini pada Isnin.

Sementara itu, Hou berkata Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPTS disaran mengambil lebih ramai pelajar antarabangsa bagi membantu merealisasi wawasan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa.

Beliau berkata institusi pengajian tinggi di negara ini menawarkan kursus yang setaraf dan setanding dengan institusi pengajian tinggi lain selain mempunyai kemudahaan pengajian yang mencukupi serta tenaga pengajar profesional.

Hampir 600 pelajar antarabangsa termasuk dari Turki, Tanzania, Myanmar, Jepun dan Kenya kini menuntut di UMS. (Bernama)

Komen Anda

0 Responses to "Lesen Tujuh IPTS Ditarik Balik"