Wednesday, 17 October 2012

Laporan Polis Wang Seludup RM40 juta Untuk Umno Sabah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus didesak supaya mendedahkan secara terperinci pihak yang menyumbang wang seludup RM40 juta kepada Umno Sabah.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, keengganan Najib mendedahkan perkara itu membuktikan beliau terlibat dalam skandal penggubahan wang haram.

“Wujud kesalahan jenayah yang dilakukan Najib apabila bersekongkol dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan hartawan Michel Chia serta Umno dalam aktiviti tersebut.

“Selaku Menteri Kewangan, Najib harus sedar tindakan menyeludup wang haram serta sumbangan kepada parti politik adalah satu jenayah.

“Justeru kita minta polis siasat isu ini tanpa prejudis agar tindakan undang-undang dapat dikenakan kepada penjenayah tersebut,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung kes itu petang tadi.

Pada 12 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengakui RM40 juta wang seludup melalui Hong Kong adalah untuk Umno Sabah, bukan milik Musa.

Nazri dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat mengatakan, Jabatan Peguam Negara telah meneliti dan mempertimbang keterangan yang dikemuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memutuskan tiada elemen rasuah.

Chia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 14 Ogos 2008 dengan matawang Singapura berjumlah RM40 juta di dalam bagasinya sebelum menaiki pesawat menghala ke Kuala Lumpur.

Wang itu dikatakan mempunyai hubungkait dengan lesen pembalakan di Sabah yang membawa pulangan lumayan kepada ahli politik Barisan Nasional di negeri itu.

Mengulas lanjut, Fariz yakin SPRM cuba menyelamatkan Musa daripada dikaitkan dengan rasuah konsesi balak di negeri itu.

“Hasil siasatan SPRM menimbulkan pelbagai persoalan. SPRM cuba menyelamatkan Musa Aman apabila dikaitkan dengan RM40 juta yang dikatakan mempunyai hubungkait dengan lesen pembalakan di Sabah,” katanya.

Beliau turut menyelar sikap Umno BN yang cuba menghalalkan penerimaan dana asing selepas mereka dikaitkan dengan penyeludupan wang haram.

“Apabila kena pada Umno BN, ia akan menjadi halal. Tetapi bila ia dikaitkan dengan Pakatan Rakyat atau NGO yang tak sehaluan dengan kerajaan, ia menjadi haram.

Inilah dwi standard yang berlaku dalam kerajaan,” kata Fariz.

Komen Anda

0 Responses to "Laporan Polis Wang Seludup RM40 juta Untuk Umno Sabah"