Tuesday, 9 October 2012

Lajim Dibidas Dakwa Sabah Dipinggir

Seorang bekas Timbalan Menteri yang baru melompat keluar dari Barisan Nasional (BN) hari ini dibidas dua penyokong kerajaan yang menyifatkan beliau sudah 'berjangkit penyakit pembangkang' apabila turut menggunakan taktik menghentam kerajaan selain membuat dakwaan tidak benar mengenai pembangunan di kawasan beliau.

Nada berbeza yang digunakan Datuk Seri Lajim Ukin (Bebas-Beaufort) yang juga bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dibidas Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang) dan Datuk Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belud) yang terkilan dengan dakwaan yang dibuat.

"Beaufort kata kerajaan BN zalim, kata di Beaufort tidak ada pembangunan. Ini tidak benar. Sipitang sebelah dia (Beaufort) saja, sebenarnya pembangunan sangat hebat di bawah BN, tetapi bila keluar parti terbalik jadinya, itu perangai pembangkang la...ini penyakit pembangkang, selalu guna gimik, tetapi sebenarnya mereka panik," kata Sapawi.

Beliau yang membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat Isnin sebaliknya berkata, Beaufort dilimpahi pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan hospital baru, dua jambatan bernilai lebih RM80 juta, sekolah dan pelbagai pembangunan infrastruktur lain.

Katanya perkembangan kawasan Koridor Sabah yang membabitkan Papar, Kimanis dan Sipitang secara tidak langsung turut memperkasa pembangunan di Beaufort.

Terdahulu, Lajim ketika membahaskan rang undang-undang sama mendakwa masih terdapat kawasan di Sabah yang tidak mendapat pembangunan, khususnya infrastruktur yang mencukupi, walaupun negeri itu dikatakan 'simpanan tetap' BN dalam pilihan raya. (Bernama)

Komen Anda

0 Responses to "Lajim Dibidas Dakwa Sabah Dipinggir"