Thursday, 4 October 2012

Kenduri mega KM Melaka dilapor pada SPRM

Pakatan Rakyat hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Melaka berhubung penganjuran kenduri kahwin mega anak kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

NONEKetua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin mengetuai rombongan yang turut disertai Ketua Pembangkang Melaka Goh Leong San dan timbalan pesuruhjaya PAS negeri Kamaruddin Sidek.

Shamsul berkata, tiga isu dilaporkan kepada SPRM, seperti berikut:

(1) Perbelanjaan RM600,000 untuk walimatulurus itu, seperti dilaporkan The Malay Mail semalam - yang didakwa melebihi kemampuan seorang ketua menteri.

(2) Dakwaan anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bahawa terdapat penglibatan agensi kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dalam penganjuran majlis itu dan dana kerajaan digunakan tanpa bayaran.

(3) Dakwaan penglibatan Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) Datuk Yusof Jantan mempengerusikan persediaan mesyuarat mengenai persiapan hiasan luaran, kebersihan dan logistik majlis itu.

Kenyataan Shamsul direkodkan kira-kira sejam oleh pegawai SPRM.

Ali Rustam semalam dilaporkan menjelaskan kos untuk menganjurkan majlis itu murah namun kelihatan mewah disebabkan jumlah kehadiran - dilaporkan lebih 100,000 orang.

Akhbar itu juga memetik seorang setiausaha Mohd Ali, Datuk M S Mahadevan sebagai berkata, seramai 500 "sukarelawan" tidak dibayar dan penyedia makanan serta perkhidmatan juga berbuat demikian secara percuma.

Sementara The Malay Mail melaporkan Mohd Ali sebagai berkata, kos jamuan itu sebanyak RM600,000 dan bukan RM1.3 juta seperti anggaran pemimpin Pakatan, atau RM13 juta seperti dianggarkan pemimpin DAP Lim Kit Siang.

-MK

Komen Anda

0 Responses to "Kenduri mega KM Melaka dilapor pada SPRM"