Sunday, 21 October 2012

Kelantan julang Piala Malaysia



Kelantan melakar kejayaan cemerlang apabila menjulang Piala Malaysia 2012 setelah menumpaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam ini.

Indra Putra Mahayuddin muncul wira pasukan 'The Red Warriors' apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan sepenuh masa 90 minit.

Kemenangan bersejarah itu sekali gus melengkapkan kejuaraan trebel buat pasukan Kelantan selepas muncul juara Piala FA dan Liga Super musim ini, iaitu sesuatu yang kali terakhir dilakukan Kedah selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Pencapaian anak buah Bojan Hodak mendakap piala keagungan bola sepak tanah air itu kali ini adalah yang kedua selepas kali pertama memenanginya pada 2010 apabila menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walaupun turun tanpa penyerang import dari Lubnan, Mohamed Ghaddar di jentera serangan, ia tidak sedikit pun menjejaskan asakan pasukan dari Pantai Timur itu bagi menyekat ATM daripada melakar sejarah menjulang piala berprestij itu buat pertama kali.

Barisan pemain ATM, yang digelar skuad 'The Gladiators' ternyata gagal menyekat kemaraan pasukan Kelantan sekali gus melepaskan peluang menebus kehampaan mereka di pentas final sulung 46 tahun lepas apabila tumpas 0-1 kepada Selangor.

- Bernama

Komen Anda

0 Responses to "Kelantan julang Piala Malaysia"