Monday, 8 October 2012

BN sedia hadapi perlawanan sengit di PRU-13

Memenangi mandat besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan lebih sukar ekoran perubahan sikap dan pengurangan sokongan terutamanya daripada golongan muda di negeri pentadbiran Pakatan Rakyat (PR), kata beberapa pemimpin muda Barisan Nasional (BN).

Mereka berkata sebegitu bagi mengulas harapan pengerusi BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu mendapatkan mandat yang lebih kuat bagi terus berkhidmat kepada rakyat dan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Ketua Pemuda Umno Putrajaya, Datuk Zaki Zahid berkata manakala kaji selidik beberapa menunjukkan BN mendahului, sokongan kepada kerajaan adalah antara “kuat” dan “tidak begitu kuat”.

“Satu kajian baru-baru ini dilakukan oleh pemimpin muda kami, termasuk (Ketua Pemuda Umno) Khairy Jamaluddin mendapati bahawa sokongan di kalangan belia berkurangan. Saya akan kata kami akan menang dengan mandat baik, tetapi untuk meraih mandat ‘kuat’ kenalah bekerja keras,” kata Zaki kepada The Malaysian Insider.

Ketua Penerangan MIC, S. Vell Paari turut berkongsi pandangan yang sama dan berkata memenangi mandat yang kuat ataupun majoriti dua pertiga parlimen adalah sukar.

“Jika anda bertanya kepada saya, generasi baru pengundi lebih bijak berpolitik maka ia akan menjadi sukar buat kami.

“Kami akan kembali memerintah dengan majoriti lebih baik sedikit, tetapi majoriti itu pasti sukar,” kata Vell Paari.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong berkata untuk mendapatkan kemenangan dengan mandat yang kukuh tidak mudah, terutamanya di empat negeri yang ditadbir PR.

“Perdana Menteri telah bekerja keras tetapi dia memerlukan bantuan daripada semua pihak, dan walaupun dia masih mempunyai sokongan, sokongan itu perlu dijadikan undi untuk BN.

“Walaupun PM disukai, tetapi orang ramai mungkin tidak memilih kita kerana faktor setempat tertentu,” kata Wee kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah bahawa terdapat banyak lagi yang perlu dilakukan, seperti menyangkal dakwaan dan juga menangani serangan daripada PR.

“Kita mesti bekerja keras dan kita mesti mencari cara yang berkesan untuk mempengaruhi pengundi di negeri PR,” kata Wee.

Dalam program “CNBC Conversation”yang disiarkan semalam, Najib berkata tempoh lima tahun yang akan datang adalah amat penting bagi kerajaan untuk memenuhi komitmen dan janji yang dibuat oleh pemimpin terdahulu kepada negara.

“Saya ingin mendapat mandat yang kuat, [pemberita CNBC Martin Soong]. Kerana untuk mencapai wawasan sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020, tempoh lima tahun adalah sangat penting. Ia penting, kerana anda sedang bercakap tentang pusingan terakhir.

“Anda bercakap tentang mendekati garisan tamat dan inilah bahagian yang paling kritikal kerana kita betul-betul perlu berprestasi,” kata beliau dipetik daripada Bernama.

Komen Anda

0 Responses to "BN sedia hadapi perlawanan sengit di PRU-13"