Saturday, 15 September 2012

William Case: BN kekal dengan majoriti lebih kecil

Barisan Nasional (BN) akan kekal berkuasa selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan tetapi dengan majoriti kerusi lebih kecil berbanding 2008 kata Prof William Case (gambar), pemangku ketua Jabatan Asia dan Kajian Antarabangsa, City University of Hong Kong.

“Umno akan menghadapi risiko kehilangan dua peratus undi dari kalangan kelas menengah Melayu di bandar; MCA akan menerima paling lebih banyak kehiangan undi; MIC pula akan mendapat keputusan yang lebih baik sedikit berbanding 2008,” katanya.

Menurut pakar politik Malaysia itu, Pakatan Rakyat (PR) tidak akan memenangi PRU hanya dengan sokongan daripada masyarakat Cina dan pengiktirafan antarabangsa dari negara kuasa besar Amerika Syarikat.

“Tanpa sokongan daripada sebahagian besar golongan bumiputera, BN tidak akan dapat ditumbangkan oleh PR walaupun mendapat sokongan kuat daripada masyarakat Cina.

“Tetapi apa juga sentimen masyarakat Cina, pada angka 26 peratus daripada jumlah populasi penduduk, bilangan mereka tidak cukup besar untuk mengalahkan BN.

“Melainkan, masyarakat Cina bergabung dengan sejumlah besar pegundi bumiputera dimana ianya tidak akan berlaku.

“Kita harus perhatikan juga jumlah pengundi Cina yang akan kembali menyokong Najib (Datuk Seri Najib Razak),” katanya kepada The Malaysian Insider dalam temuramah melalui email baru-baru ini.

William merasakan kuasa besar dunia, Amerika Syarikat lebih condrong mahukan kemenangan PR dalam pilihan raya akan datang kerana imej ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai seorang muslim moderat yang mereka boleh berurusan.

“Washington sudah tentu terus komited, kepada pendemokrasian.“Walaubagaimanapun, Washington tidak begitu bertentangan dengan Najib seperti mereka memandang rendah kepada Abdullah atau curiga terhadap Mahathir.

“Malah, mungkin ada sedikit rasa hormat kepada Najib sebagai pengurus berwibawa dalam keadaan yang amat sukar dan tidak seimbang.

“Apa sahaja pandangan Washington, ia hanya memberi kesan yang kecil kepada pengundian di Malaysia,” katanya.

William bukanlah nama yang asing dalam kajian terhadap politik dan pentadbiran negara.

Beliau telah banyak menulis tentang Malaysia dan sekarang ini sedang membuat kajian tentang sistem Federalisme negara ini.

Menurut William, Umno dan BN akan terus memerintah sekurang-kurangnya selepas pilihan raya ke-13.

Jika BN tumbang, pemimpin Umno akan mempunyai pandangan berbeza tentang bagaimana untuk berhadapan dengan keadaan ini.

“Najib akan terima keputusan dan terus memimpin Umno dan (BN jika masih ada) sebagai pembangkang.

“Pemimpin Umno lain yang bergaris keras akan membuat kacau sehingga pihak berkuasa terpaksa mengistiharkan darurat,” katanya lagi.

Menurut William, jika PR kalah pula dalam PRU 13 ini, dan pemimpin mereka mampu meyakinkan rakyat bahawa undi mereka telah dicuri melalui perjalanan pilihan raya yang tidak adil, tidak mustahil kebangkitan melalui demonstrasi besar-besaran seperti di Filipina pada tahun 1986 dan di Timur Tengah baru-baru ini boleh berlaku.

“Walaubagaimanapun, saya tidak menjangkakan akan berlaku perpecahan dalam pasukan keselamatan seperti di Filipina — jeneral atasan berpaling tadah, membolehkan peralihan demokrasi mengambil tempat.

“Paling tinggi, perubahan akan kelihatan lebih seperti Mesir, di mana tentera membenarkan seorang tokoh pembangkang untuk menduduki kedudukan eksekutif atas, tetapi masih mengekalkan kawalan ke atas kebanyakan kuasa kerajaan,” katanya.

Pilihan raya akan datang dikatakan paling sengit bakal berlaku dalam sejarah Malaysia.

Dalam pilihan raya tahun 2008, PR menafikan majoriti dua pertiga BN apabila memenangi 81 kerusi parlimen selain daripada merampas negeri-negeri yang dikuasai parti pemerintah seperti Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Kelantan berjaya dipertahankan oleh PAS.

Perak walaubagaimanapun dirampas kembali oleh BN pada tahun 2009 apabila tiga ahli dewan undangan (DUN) keluar dari PR menjadi Adun bebas tetapi mesra kepada BN.

-TMI

Komen Anda

0 Responses to "William Case: BN kekal dengan majoriti lebih kecil"