Tuesday, 18 September 2012

Suaram mungkin terima hukuman paling buruk

NGO hak asasi manusia Suaram bersedia untuk menghadapi “kemungkinan paling buruk” dalam tindakan kerajaan ke atasnya, termasuk kemungkinan diisytiharkan sebagai pertubuhan haram.

Anggota sekretariatnya, Cynthia Gabriel berkata Suaram bersedia untuk menghadapi kemungkinan itu memandangkan menteri perdagangan dalam negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa NGO berkenaan mungkin boleh dituduh atas beberapa dakwaan.

"Beliau juga membayangkan bahawa Suaram merupakan sebuah pertubuhan haram, jadi kita bersedia untuk apa saja," katanya.

Tambahnya, NGO itu hanya akan mendedahkan rancangannya apabila tiba masanya.

Gabriel berkata, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sengaja menggambarkan Suaram sebagai entiti berbeza daripada syarikat yang didaftarkan – Suara Inisiatif Sdn Bhd – untuk mengisytiharkannya sebagai pertubuhan haram.

"Kami percaya pihak berkuasa sebenarnya main kotor kerana mereka cuba bezakan Suaram dan Suara Inisiatif, sedangkan (kedua-duanya) satu (entiti) sama," katanya.

-MK

Komen Anda

0 Responses to "Suaram mungkin terima hukuman paling buruk"