Monday, 10 September 2012

Selesaikan projek IC ‘Sabah’, baru pilihanraya

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mendakwa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum bersedia untuk memanggil pilihanraya umum ke-13 ekoran masih belum menyelesaikan beberapa masalah di Sabah dan Sarawak, terutamanya melibatkan pendatang asing.

Mat Sabu juga mempersoalkan kredibiliti SPR kerana seolah-olah tergesa mahu mengadakan pilihanraya, walaupun Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat masalah pendatang asing di Sabah pun belum memulakan tugasnya.

Mat Sabu menyelar Suruhanjaya Pilihan Raya dalam isu penyelewengan dan penipuan berlaku dalam daftar pemilih walaupun perkara tersebut berlaku secara terang-terangan. — Gambar file

“Ia dengan sendirinya bermakna daftar pemilih masih tidak bersih dan itulah antara sebab utama rakyat Sabah menuntut suruhanjaya itu ditubuhkan,” kata Mat Sabu yang dipetik dalam Harakah.

Kerusi parlimen di Sabah menjadi deposit tetap buat kerajaan Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya, malahan pada PRU 2008, BN berjaya meraih 24 kerusi daripada 25 yang dipertandingkan.

Situasi sama juga berlaku di Sarawak apabila BN memperoleh 30 kerusi daripada 31 yang dipertandingkan.

Pemimpin Pas tersebut juga menyelar SPR dalam isu penyelewengan dan penipuan berlaku dalam daftar pemilih walaupun perkara tersebut berlaku secara terang-terangan, walaupun aduan demi aduan dilakukan kepada pihak SPR.

Walaupun laporan telah dikeluarkan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) dan mengemukakan 22 syor-syor penambahbaikan proses pilihan raya, ia masih mencukupi untuk menjamin SPR akan menjalankan pilihanraya yang bersih dan telus.

“Ada pendaftaran bertindih di mana seorang pengundi dengan nama dan nombor kad pengenalan yang sama menjadi pemilih di dua tempat yang berlainan.

“Contohnya, SPR kata dia pindahkan 19,000 pengundi, sedangkan bila PKR siasat, terdapat 31,294 pengundi yang dipindahkan,” katanya lagi.

Malahan, pihak gabungan pilihanraya adil dan bersih (Bersih 2.0) telah bertindak mengkritik jawatankuasa tersebut kerana menyerlahkan lagi penipuan yang berlaku sebaik laporan PSC dikeluarkan.

Antara kes yang mendapat perhatian Bersih ialah mengenai sijil kematian yang banyak dikeluarkan di tempat-tempat seperti Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, dan Tanjong Karang (walhal tiada kematian yang dilaporkan), pendaftaran dua kali ditemui ketika 15,520 pengundi di Sabah dan 8,585 pengundi di Sarawak didaftarkan semula di Selangor (suku tahun pertama 2012), terdapat lebih 15 orang didaftarkan sebagai pengundi dalam sebuah rumah serta isu pendaftaran pengundi dibawah Kod 71 (warganegara dilahirkan di luar negara).

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, pada Sabtu lalu, menyatakan pihaknya bersiap-sedia untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 dan kini hanya menanti tarikh pembubaran Parlimen yang diramal oleh pemerhati pada November ini.

-TMI

Komen Anda

0 Responses to "Selesaikan projek IC ‘Sabah’, baru pilihanraya"