Thursday, 20 September 2012

PRU selepas AGM Umno?


Perhimpunan Tahunan Agung Umno akan berlangsung pada 27 November hingga 1 Disember, kata presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga perdana menteri bagaimanapun berkata, ia boleh ditangguhkan sekiranya pilihan raya diadakan.

Najib mesti memanggil pilihan raya sebelum April tahun depan.
Katanya,  terpulanglah kepada rakyat untuk membuat spekulasi bila pilihan raya akan diadakan, ekoran pengumuman itu hari ini.

Bercakap selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno petang ini, beliau berkata, terserahlah kepada mereka untuk membuat tafsiran masing-masing.

Umno sebelum ini pernah menangguhkan pemilihan parti itu sehingga selepas pilihan raya umum.

Majlis Tertinggi menetapkan perhimpunan agung Umno 2012 akan berlangsung pada 27 November hingga 1 Disember depan.

Ia akan bermula dengan majlis taklimat presiden pada 27 November, diikuti dengan majlis perasmian serentak perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada sebelah malamnya.

Perhimpunan agung ketiga-tiga sayap Umno itu akan berlangsung pada keesokan harinya. Manakala perhimpunan agung Umno akan berlangsung pada 29, 30 November hingga 1 Disember.

'Saya tak tulis surat'

Sementara itu, berhubung pilihan raya kampus, perdana menteri menafikan beliau telah mengeluarkan surat kepada Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Zaleha Kamaruddin (kiri) berhubung pelantikan Prof  Madya Mirzan Hitam.

Surat tersebut yang menunjukkan kepada media, memaparkan logo Umno sebagai kepala surat.

Surat itu antara lain menyebut pelantikan  Mirzan akan membawa kemenangan kepada pro-Aspirasi untuk meningkatkan kedudukan bangsa dan negara selaras dengan perlembagaan Umno.

Pro-Aspirasi adalah gabungan pro-establishment dalam politik kampus. Pilihan raya kampus sedang berlangsung hari ini dan 25 September depan.

Najib berkata, beliau tidak pernah mengeluar surat parti atas pelantikan mana-mana anggota dalam universiti.

"Perkara ini boleh disahkan oleh pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Ini contoh bagaimana mereka tertekan dan sanggup buat apa sahaja, termasuk menyebarkan kepalsuan dan fitnah untuk menghasut pelajar benci atau marah kepada kerajaan," kata perdana menteri.

Minggu lalu, kumpulan pelajar berarak di pusat bandar Kuala Lumpur untuk menuntut pilihan raya kampus yang bersih dan adil.

-MK

Komen Anda

0 Responses to "PRU selepas AGM Umno?"