Sunday, 23 September 2012

Pro-Mahasiswa UKM Menang 7 Kerusi Tanpa Bertanding

Kumpulam Pro-Mahasiswa memenangi tujuh kerusi tanpa bertanding pada hari penamaan calon pilihan raya kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Kerusi-kerusi itu dimenangi tanpa bertanding selepas tiada cabaran sehingga tamat sesi pencalonan semalam.

Kerusi tersebut membabitkan Fakulti Sains Teknologi, Ekonomi, Pengajian Islam, Pendidikan, Farmasi dan Perubatan serta satu kerusi di peringkat umum.

Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto mengesahkan kemenangan tujuh kerusi Pro-Mahasiswa tanpa bertanding di UKM.

“Kami yakin 90 peratus daripada kerusi yang diperuntukkan di UKM milik Pro-Mahasiswa bagi pilihan raya kampus sesi 2012/2013 ini.

“Tahun lepas juga kami menguasai UKM dan kami akan terus memperjuangkan kebajikan mahasiswa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, petang ini.

Sebanyak 28 kerusi menjadi rebutan antara kumpulan Pro-Mahasiswa dengan Aspirasi pada pilihan raya kampus itu kali ini.

Pengundian akan berlangsung Selasa ini.

Komen Anda

0 Responses to "Pro-Mahasiswa UKM Menang 7 Kerusi Tanpa Bertanding"