Wednesday, 26 September 2012

Pro-Mahasiswa Menang Di UM, UKM



Keputusan pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memihak kepada kumpulan Pro-Mahasiswa.

Pro-Mahasiswa memenangai 22 kerusi manakala Pro-Aspirasi pula menguasai 19 kerusi. Dua calon peringkat kerusi fakulti memperolehi undi yang seimbang.

Peratusan keluar undi hanya 42.14.

Keputusan itu diumumkan oleh Naib Canselor UM Tan Sri Dr Ghauth Jasmon kira-kira pukul 6 petang ini di Akademi Pengajian Melayu.

Ghauth berkata sembilan kerusi umum dan 34 kerusi fakulti dipertandingkan dalam pilihan raya kampus universiti itu tahun ini dan keputusan rasmi akan diumumkan Khamis ini.

Dalam pada itu, Kumpulan Pro-Mahasiswa juga menang di UKM dengan memperoleh 19 kerusi manakala Pro-Aspirasi menang di sembilan kerusi.

"Pro-Mahasiswa berjaya mengekalkan penguasaan di UKM sekali lagi," kata seorang pemimpinnya kepada Sinar Harian Online.

Dalam pada itu, kumpulan Pro-Aspirasi menang besar dalam pilihan raya kampus di kebanyakan universiti.

Antaranya,Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Sains Malaysia.

Di UPM, Pro-Aspirasi memenangi 39 daripada 47 kerusi yang dipertandingkan manakala di UUM pula, 34 kerusi disapu bersih daripada 36 kerusi.

Sementara itu, di UPSI, 25 daripada 29 kerusi yang dipertandingkan milik Pro-Aspirasi, manakala di UPNM, kesemua kerusi dimenanginya.

Selain itu, di UMP pula, 22 daripada 24 kerusi dimenangi Pro-Aspirasi dan 33 kerusi dimenangi di UMS.

Dalam pada itu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula menggantung keputusan pengundian malam tadi ekoran masalah teknikal dalam sistem e-undi. Pengundian semula, menggunakan sistem kertas, dijangka diadakan minggu depan.-SH

Komen Anda

0 Responses to "Pro-Mahasiswa Menang Di UM, UKM"