Monday, 10 September 2012

Presiden PAS Mohon Maaf?

BEAUFORT : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon maaf daripada seluruh rakyat Sabah di atas kesilapan dan salahtadbir yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang datang dari Semenanjung sehingga menyebabkan rakyat Sabah merasakan seperti dijajah oleh pemimpin Semenanjung.

Menurut beliau, pemimpin UMNO telah menunjukkan contoh yang buruk, tidak amanah dan menipu rakyat kerana hendak berkuasa selama-lamanya walapun melakukan kesalahan.
Ustaz Abdul Hadi berucap di hadapan hampir 5,000 orang ketika merasmikan Himpunan Hijau peringkat Negeri Sabah di pekarangan Rumah Datuk Lajim Ukin juga menjelaskan konsep federalisasi yang diamalkan oleh pemimpin UMNO BN bersifat menindas dan tidak bertepatan dengan Islam .

“Konsep zakat yang diperkenalkan Islam tidak membenarkan kutipan zakat dipindahkan ke negeri lain sehinggalah rakyat negeri tersebut dapat menikmati kekayaan tersebut sehingga dapat menyelesaikan masalah kemiskinan dalam negeri tersebut.

"Hanya jika mempunyai lebihan sahaja, barulah dipindahkan kepada negeri lain. Begitulah konsep hasil negeri yang tidak sepatutnya di punggah ke Putrajaya sedangkan rakyat Sabah bergelombang dengan kemiskinan,” jelas Ustaz Abdul Hadi.

Selain dari itu, Ustaz Hadi juga berharap rakyat Sabah memilih pemimpin yang amanah untuk mengurus harta negeri bagi memastikan rakyat mendapat hak yang sepatutnya.

Hasil negeri yang banyak mesti digunakan untuk membangun jiwa dan kemudahan rakyat bukan untuk memperkayakan golongan tertentu sahaja. Beliau turut melahirkan kekesalan kerana mengikut laporan audit, Sabah antara negeri yang paling tinggi pengeluaran hasilnya tetapi tergolong di antara negeri termiskin di Malaysia.

Presiden PAS juga turut menjelaskan sebab PAS mengheret agama dalam politik kerana Islam itu sendiri bersifat syumul dan politik termasuk dalam rangka kehidupan Islam yang meletakkan soal dosa dan pahala.

Tiada yang terlepas daripada dosa dan pahala dalam setiap perlakuan manusia termasuk berpolitik. Ini juga menunjukkan Islam berbeza dengan agama-agama yang lain. Oleh itu juga, masyarakat bukan Islam tidak perlu takut dengan PAS yang berlandaskan Islam kerana Islam menjamin hak untuk semua. Hak untuk beragama, bersosial, bekerja, berilmu, berpolitik dan sebagainya.

Oleh : FAIZAL OKADOU (sabahkini)

Komen Anda

0 Responses to "Presiden PAS Mohon Maaf?"