Monday, 17 September 2012

Penyertaan Ibrahim ke PKR tidak gugat BN Sabah

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal hari ini berkata penyertaan bekas Bendahari Umno Sabah, Tan Sri Ibrahim Menudin ke dalam PKR semalam tidak akan menggugat kedudukan Barisan Nasional (BN) di negeri tersebut.

Shafie (gambar) yang juga merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menegaskan, perkara itu adalah asam garam dalam politik.

“Itu asam garam dalam politik ... Sabah negeri yang unik.

“Bagaimanapun kita akan teruskan perjuangan, walaupun kita dengar bergolak sana-sini, tapi ia tidak menggug kedudukan BN di Sabah,” tegasnya kepada pemberita.

Jelas beliau lagi sebelum ini pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan seorang artis wanita, penyertaan Ibrahim ke dalam PKR itu juga merupakan bukti kebebasan amalan demokrasi di negara ini.

“Itu adalah kebebasan sistem demokrasi kita,” kata Ahli Parlimen Semporna itu lagi.

Malah Shafie turut melihat Ibrahim bukan ancaman kepada BN jika beliau bertanding di Parlimen Labuan dalam pilihan raya akan datang.

“Tiada masalah jika mereka ingin meletakkan beliau ... hendak lawan (bertanding),” tegasnya lagi selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Lembah Pantai di sini.

Sabah sebelum ini turut dikenali sebagai “fix deposit” bagi BN.

Penyertaan Ibrahim ke dalam PKR telah diumumkan secara rasmi oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan lebih 2,000 pengundi di Kampung Batu Arang, Labuan.

Perkara itu disahkan kepada The Malaysian Insider oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang dihubungi semalam.

Ibrahim sebelum ini pernah menjawat jawatan bendahari Umno Sabah telah digantikan oleh Ketua Menteri Sabah sekarang, Datuk Seri Musa Aman.

Beliau juga merupakan Pengerusi bukan eksekutif Suria Capital Holding.

Azmin turut tidak menolak untuk meletakkan Ibrahim sebagai calon yang berpotensi untuk mewakili PKR di Labuan dalam pilihan raya akan datang.

“(PKR) Pusat belum memutuskan calon secara muktamad ... namun beliau adalah calon yang berpotensi besar untuk mewakili PKR,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ibrahim merupakan pemimpin keempat meninggalkan Barisan Nasional (BN) di Sabah mengikut jejak langkah Naib Presiden Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut (Upko) Datuk Maijol Mahap, Timbalan Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Bumburing yang juga Ahli Parlimen Tuaran, dan Datuk Seri Lajim Ukin yang merupakan timbalan menteri pusat.

Kerusi di Sabah dan Sarawak dijangka menjadi kubu pertahanan BN menjelang pilihan raya umum akan datang, termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, menyumbang 57 kerusi, atau 25 peratus daripada 222 kerusi Parlimen.

Pada pilihan raya 2008, BN hilang majoriti dua pertiga Parlimen dan hilang penguasaan terhadap lima negeri termasuk Kelantan di semenanjung.

Penyelamat BN datang dari Sabah dan Sarawak, termasuk Labuan, apabila parti pemerintah itu memenangi 55 kerusi Parlimen kecuali dua di tangan pembangkang sebelum ini.

Bagaimanapun, BN kini hanya memiliki 53 kerusi Parlimen dan pembangkang pula memiliki empat kerusi.

-TMI

Komen Anda

0 Responses to "Penyertaan Ibrahim ke PKR tidak gugat BN Sabah"