Monday, 10 September 2012

Najib akan pastikan Taib letak jawatan?

Pemimpin parlimen DAP Lim Kit Siang berkata tempoh untuk Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud meletak jawatan bakal berakhir pada bulan April, namun tidak banyak petanda yang menunjukkan perkara itu akan berlaku.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata Taib semalam mengumumkan bahawa peralihan kepimpinan di Sarawak tidak perlu dibuat tergesa-gesa kerana negeri itu kini "menikmati keamanan, kestabilan politik dan pembangunan yang terancang".

Lim memberi amaran, sekiranya Taib enggan meletak jawatan pada April depan, perkara itu akan menjejaskan Najib yang sebelum ini mendedahkan bahawa beliau mengatur tarikh persaraan Taib.

"Nampaknya, ucapan Taib hari ini khas untuk Najib menilai, dengan satu pesanan yang kukuh bahawa beliau tiada hasrat untuk menunaikan kesefahamannya bersama perdana menteri dengan meletak jawatan sebagai ketua menteri sarawak.

"Ujian kecekalan politik diantara Taib dan Najib kini menggunung, dengan tindakan Taib yang memperli perdana menteri, serta menyangkal Najib untuk melihat siapa yang akan muncul sebagai juara bertahan dalam medan politik.

"Taib nampaknya yakin bahawa Najib merupakan seorang yang lemah untuk menguatkuasakan persefahaman sebelum pilihan raya negeri Sarawak bahawa beliau hanya akan berkhidmat sebagai ketua menteri Sarawak bagi tempoh dua tahun lagi," kata Lim.

Dalam kempen pilihan raya negeri lalu, Najib hadir untuk memberi sokongan apabila BN semakin jelas terjejas di beberapa kawasan.

Dalam kempen tersebut juga, Pakatan Rakyat memfokuskan pemerintahan Taib selama 30 tahun sebagai ketua menteri dan dakwaan pemilikan harta yang besar.

Sepanjang kempen itu, Najib berusaha memujuk pengundi Sarawak dengan kenyataan bahawa beliau telah merundingkan tempoh persaraan Taib.

Taib kemudiannya mengumumkan bahawa beliau akan meletak jawatan dalam tempoh "dua tahun" namun kemudiannya berkata beliau akan berbuat demikian di "pertengahan penggal".

Lim berkata, tumpuan pada tarikh 16 September nanti adalah bagaimana Najib menangani isu berkenaan.

Najib akan mengetuai barisan kabinetnya ke Bintulu, Sarawak untuk sambutan Hari Malaysia dan Taib juga pasti akan hadir.

Katanya, majlis berkenaan akan menjelaskan sama ada Taib benar-benar akan melepaskan jawatan dalam tempoh yang dirungdingkan itu.

-MK

Komen Anda

0 Responses to "Najib akan pastikan Taib letak jawatan?"