Sunday, 23 September 2012

Izin 7 Calon Bertanding, Pro-M UM Buat Laporan Polis

Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) kesal berikutan pentadbiran universiti itu menyalah guna kuasa dalam proses pencalonan Pilihan Raya Kampus (PRK).

Pengerusi Pro-Mahasiswa UM, Edikuop Lakip Sediyanto, berkata ia berikutan pentadbiran UM menerima pencalonan Pro-Aspirasi walaupun mereka tidak layak bertanding.

Bercadang mendapatkan injuksi mahkamah bagi membatal pencalonan itu, beliau ketika bercakap kepada Suara Keadilan, berkata, tujuh calon Pro-Aspirasi yang dicalonkan sudah memasuki pengajian tahun akhir.

“Mengikut Tatacara Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPP-UM), calon yang bertanding mestilah mempunyai baki sekurang-kurangnya setahun pengajian atau dua semester.

“MPP perlu dilantik selama setahun.

Calon Pro-Aspirasi akan tamat pengajian pada Jun 2013 manakala penggal MPP kali ini tamat pada September 2013.

Ini bermakna mereka berkhidmat tidak sampai setahun “Apabila calon tamat pengajian, ia akan memberi masalah kerana tiada siapa yang berkhidmat untuk mahasiswa,” katanya selepas membuat laporan di balai polis Pantai, tengah hari ini.

Laporan itu dibuat bersama Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Pro-Mahasiswa Nasional dan Solidariti Mahasiswa Malayisa (SMM).

Kata Edikuop, Pro-Mahasiswa sebelum ini membuat bantahan kepada Jawatankuasa Bantahan dan Rayuan tetapi hanya satu diterima manakala enam bantahan lagi ditolak.

Katanya, jawatankuasa memberi alasan ‘tafsiran’ buku Tatacara Pemilihan MPP sudah berubah dan menerima pencalonan walaupun mahasiswa sudah memasuki tahun akhir pengajian.

“Jawatankuasa juga mengatakan mereka berhak menerima atau menolak sesuatu bantahan atas budi bicara.

“Tindakan jawatankuasa itu bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), Perkara 48 (4) yang menyatakan setiap MPP perlu dilantik selama setahun,” katanya.


-GB

Komen Anda

0 Responses to "Izin 7 Calon Bertanding, Pro-M UM Buat Laporan Polis "