Tuesday, 25 September 2012

Harapan Kita Dalam Bajet 2013?

28 September ini, perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan Belanjawan 2013 atau dalam bahasa sekarang, Bajet 2013.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menambah Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) kepada penjawat awam dalam belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen 28 September ini.

Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata ini perlu kerana kos perumahan kini khususnya di bandar raya amat tinggi.

“Di kawasan bandar raya apabila wujudnya projek perumahan baharu, timbul masalah di mana orang yang berkemampuan sahaja yang dapat membeli rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Perumahan adalah diantara masalah besar masyarakat bandar hari ini.

Harga terlalu mahal dan tidak ramai yang mampu.

Harga perumahan dikawasan pinggir bandar juga turut meningkat dengan mendadak, terutamanya dikawasan-kawasan yang mempunyai kemudahan pengangkutan awam.

Kemungkinan besar tuntutan Cuepacs akan ditunaikan kerana maklumlah, penjawat awam bank undi tersebsar bagi Barisan Nasional (BN).

Akan tetapi bagaimana pula dengan pekerja swasta?

Apakah akan terus dianak tirikan dalam bajet kali ini sepertimana bajet-bajet tahun sebelumnya?

Pendapatan mudah kerajaan dalam setiap kali pembentangan bajet adalah kenaikkan cukai bagi produk-produk tembakau dan alkohol.

Tidak siapa akan berani membantah kerana ianya adalah satu tindakan yang “politically incorrect.”

Tetapi kerajaan jangan pula terlupa, sebarang peningkatan cukai tembakau dan alkohol akan menyebabkan aktiviti penyeludupan turut meningkat sama.

Dengan lambakkan produk-produk tembakau dan alkohol yang diseludup, pendapatan kerajaan daripada cukai produk tembakau dan alkohol yang dinaikkan itu tadi akan semakin berkurangan oleh kerana kerajaan tidak mendapat sesen pun hasil daripada aktiviti penyeludupan.

Yang dijangkakan akan turun adalah harga kereta.

Ini adalah kerana Pakatan Rakyat (PR) agresif berkempen mereka mahu menurunkan harga kereta jika mereka dapat menawan Putrajaya.

Tidak ada siapa baik dalam BN mahupun PR membincangkan tentang harga motosikal berkuasa besar yang mahal.

Mungkin kedua-dua BN dan PR tidak mengetahui majoriti pengguna motorsikal yang terlibat dalam kemalangan maut adalah mereka-mereka yang menggunakan motorsikal berkuasa 150cc kebawah.

Saya tidak mempunyai statistik tentang ini akan tetapi saya diberitahu oleh sumber dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Mengapa tidak BN atau PR kaji tentang ini?

Saya amat berharap juga agar dalam bajet kali ini, belanja untuk pendidikan dan kesihatan akan melebihi belanja untuk membeli senjata.

Biarlah Malaysia tidak kuat dari segi ketenteraan akan tetapi melahirkan lebih ramai golongan bijak pandai.

Bantulah industri penerbitan buku tempatan dan juga meningkatkan perbelanjaan untuk menterjemahkan buku-buku yang baik dari luar negara.

Bukan sahaja buku-buku sains tetapi juga buku falsafah.

Wang perbelanjaan untuk ini boleh didapati daripada mengurangkan upcara makan-makan kerajaan yang sebenarnya “membunuh” secara senyap.

Makanan-makanan yang “tidak sihat” yang seringkali dihidangkan dalam mesyuarat atau program-program kerajaan inilah yang menyebabkan ramai berpenyakit kencing manis, sakit jantung, darah tinggi dan banyak lagi punca-punca kematian rakyat Malaysia.

Kerajaan harus tunjukkan yang mereka bijak berbelanja.

Barulah rakyat akan mengikut.

Jangan jadi seperti ketam yang mahu mengajar anaknya berjalan lurus.

Oleh Amin Iskandar

Komen Anda

0 Responses to "Harapan Kita Dalam Bajet 2013?"