Saturday, 15 September 2012

Hairie Othman Bidas Zed Zaidi?

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi diingatkan agar tidak terikut dengan budaya politik fitnah yang dibawa oleh Umno-BN sehingga sanggup memfitnah rakan seni.

Ingatan tersebut dibuat oleh pelakon terkenal, Hairie Othman ketika mengulas dakwaan yang dilemparkan oleh Zed seperti yang dilaporkan portal, ‘mStar On Line hari ini.

Dalam laporan tersebut, Zed mendakwa terdapat artis yang dibayar puluhan ribu ringgit oleh sebuah parti bagi memburukkan kerajaan.

Zed juga dilaporkan berkata golongan artis di negara ini tidak akan melakukan sesuatu kerja dengan sukarela sebaliknya melaksanakan sesuatu apabila terdapat imbuhan disebaliknya.

Menafikan kenyataan itu, Hairie menyifatkan Zed seperti ‘menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri’ apabila kenyataan yang dikeluarkannya itu lebih merupakan gambaran sebenar dirinya dalam Seniman.

“Dia cakap macam itu sebab dia melihat diri dia sendiri agaknya dan dia fikir semua orang berfikiran sama macam dia.

“Kalau tidak, masakan dia mengakui, artis tidak akan membuat sesuatu dengan percuma,” kata Hairie yang terkenal dengan watak ‘Leftenan Adnan’ kepada TVS hari ini.

Selain Hairie, kenyataan tersebut juga tidak disenangi beberapa rakan artis lain termasuk golongan artis yang menyertai Umno kerana memberi persepsi buruk terhadap keputusan mereka memilih Umno yang dikenali sebagai sebuah parti memiliki sumber kewangan besar.

Hairie juga berkata, Zed harus bersikap lebih terbuka dan lebih matang terhadap pendirian mana-mana artis untuk menyokong mana-mana parti politik yang disukai mereka.

“Kalau artis atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Seniman contohnya hendak menyebelahi Umno, tak apa pula, tetapi bila ada yang sokong pihak lain tak bolehkah?

“Seniman sendiri juga digunakan Umno, tetapi itu pendirian Seniman,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi pelakon terkenal, Abby Abadi ketika dihubungi TVS berkata, tiada siapa yang boleh menidakkan rezeki yang diturunkan oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

“Sedikit atau banyak atau saya tak dapat langsung, itu antara saya dengan Allah dan lebih penting lagi hanya Allah akan menilai keikhlasan saya.

“Dia tak perlu nak pertikaikan dengan pelbagai dakwaan kerana memberi persepsi buruk kepada golongan yang mahu menyampaikan agama Allah,” kata Abby lagi.

-GB

Komen Anda

0 Responses to "Hairie Othman Bidas Zed Zaidi?"