Monday, 17 September 2012

Deklarasi : Halatuju Baru Sarawak Bersama Pakatan



Ketiga-tiga pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat hari ini menandatangani bersama Deklarasi Kuching yang menggariskan janji gabungan parti itu untuk meningkatkan kualiti hidup warga Sabah dan Sarawak dan menghormati Perjanjian Malaysia 1963.

Majlis tersebut berlangsung sempena sambutan Hari Malaysia Pakatan Rakyat yang diadakan di Chongling Park, Kuching, Sarawak.

Walaupun hujan lebat turun sejak awal petang namun ia tidak menghalang ribuan penduduk sekitar bandaraya terbesar di Sarawak ini berhimpun menandakan Hari Malaysia Pakatan Rakyat diiktiraf sebagai hari nasional selaras dengan penubuhan Persekutuan Malaysia 49 tahun lalu.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mewakili parti masing-masing yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan pemimpin Pakatan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.

Anwar yang menaiki penerbangan dari Kota Kinabalu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) jam 1245 tengah hari tadi dan disambut meriah oleh penyokong Pakatan Rakyat yang menanti di pintu ketibaan sejak jam 11 pagi.

Abdul Hadi dan Guan Eng telah tiba lebih awal bagi menghadiri majlis yang disusun padat sempena Hari Malaysia di sekitar bandaraya ini.

Deklarasi tujuh perkara itu, diumumkan sempena sambutan Hari Malaysia hari ini, antara lain menggariskan janji Pakatan sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-13.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan Deklarasi Kuching menjanjikan keyakinan baru untuk rakyat Sarawak dan masa depan yang gagah untuk semua rakyat Malaysia manakala pembentukan Malaysia menjanjikan kebebasan rakyat, keadilan dalam pengagihan ekonomi dan tanah, demokrasi yang subur. -jalanpulang

Komen Anda

0 Responses to "Deklarasi : Halatuju Baru Sarawak Bersama Pakatan"