Monday, 6 August 2012

Sulit: Najib Mahu Lindungi 'Perompak BN'

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar segala maklumat sulit kewangan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa hanya untuk melindungi 'perompak-perompak BN'.

Pengarah Stratregi PKR, Mohd Rafizi Ramli ketika dihubungi Harakahdaily, berkata ini kerana kebanyakan undang-undang yang berada di bawah BN hanya bertujuan untuk melindungi pihak tertentu.

Sedangkan, jika diimbas di awal pendedahan beliau berhubung isu National Feedlot Corporation (NFC), Rafizi berkata pihaknya telah memberi tempoh selama tiga minggu kepada Umno, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, dan pihak berkaitan untuk memberi penjelasan, sebelum satu laporan kepada SPRM.

Namun, beliau berkata laporan yang dilakukan sebuah NGO, Jingga 13 itu tidak mendapat sebarang reaksi dari mereka.

Tambah beliau, seperti undang-undang berkaitan 'whistleblower', hanya di Malaysia sahaja yang tidak menganggap pendedahan di media sebagai maklumat, berbanding di negara luar yang menjadikannya sebagai sumber maklumat.

"Jika di negara luar, sebarang pendedahan di media, akan dikira sebagai satu maklumat. Bukan seperti di Malaysia. Di Malaysia lebih untuk melindungi pihak tertentu. Yang beri maklumat pula didakwa," tegas beliau.

Masalahnya di negara ini, tambah Rafizi apabila ada pihak yang membuat laporan di SPRM, perkara tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum dan perlu 'didiam'kan sahaja.

Sedangkan, kata beliau SPRM di negara ini pula dilihat agak berat-sebelah dalam menangani kes-kes tertentu.

Sehubungan itu, katanya pihak beliau tidak mempunyai pilihan lin selain mendedahkannya kepada media.

Najib, dalam kenyataannya sebelum ini berkata sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat kewangan sulit yang berkaitan dengan rasuah perlu mendedahkannya kepada SPRM.

Beliau dilaporkan berkata, maklumat sulit seumpama itu tidak sepatutnya didedahkan kepada umum.

Rafizi pada Rabu lalu yang didakwa melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Bafia) kerana mendedahkan dokumen mengenai butiran perbankan yang berkaitan dengan skandal NFC kepada umum.

Rafizi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada Rabu terhadap pertuduhan itu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 103 (1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, bekas kerani bank Johari Mohamad, 41, yang didakwa bersubahat dengan Rafizi, juga mengaku tidak bersalah.

Johari didakwa mengikut Seksyen 112 (1) (c) Bafia, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103 akta yang sama.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin masing-masing ke atas kedua-dua tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kedua-dua kes pada 10 September ini dan kedua-dua kes dibicarakan serentak. -HD

Komen Anda

0 Responses to "Sulit: Najib Mahu Lindungi 'Perompak BN'"