Thursday, 9 August 2012

PRU13: Anak muda dan media baru

Parti yang menguasai minda anak muda akan menentukan parti mana yang akan menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, sehingga kini para pengkaji politik Malaysia mendapati, pengundi di bawah umur 40 tahun menghampiri 48 peratus jumlah pengundi dalam pilihan raya ke 13 nanti.

Jumlah ini akan meningkat kepada 52 peratus jika pilihan raya ke 13 diadakan pada tahun akan datang.

Yang paling menariknya, 30 peratus pengundi Malaysia masih belum membuat keputusan parti manakah yang akan mereka sokong dalam pilihan raya nanti.

"Dan hampir kesemua mereka adalah di bawah umur 40 tahun," kata seorang penyelidik.

Beliau juga memberitahu, hampir 70 peratus dari pengundi muda ini dipengaruhi oleh media baru.

Ini bermakna, media baru bakal menjadi faktor penting dalam pilihan raya umum akan datang.

Sesiapa yang berjaya menggunakan media baru akan menguasai minda 30 peratus pengundi atas pagar ini dan seterusnya memiliki undi mereka.

Menurut ranking Alexa.com, Facebook adalah media baru yang paling popular di Malaysia di ikuti Google, Youtube, Blogspot, Wikipedia, Blogger dan seterusnya Twitter.

Laman Malaysia yang paling popular adalah laman Maybank2u diikuti Mudah.my, Lowyat.net dan Cari.com.

(Laporan dalam Busuk.org yang banyak menarik anak muda)

Laman berita yang paling popular di Malaysia pula adalah Malaysiakini dikuti The Star (2), Harian Metro (3), Utusan (4), Berita Harian (5) dan Harakahdaily (6).

Ini bermakna, media alternatif iaitu Malaysiakini menjadi sumber berita politik yang paling utama bagi rakyat negara ini.

Namun, 30 peratus anak muda yang di atas pagar tadi tidak pergi ke laman berita ini walaupun mereka dipengaruhi media baru.

Ini kerana, mereka tidak minat dengan politik dan tidak akan pergi ke laman-laman yang melaporkan berita politik ini.

Menurut satu diskusi yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat baru-baru ini, anak muda di Malaysia boleh dibahagi kepada 4 kumpulan penting.

Mereka adalah kumpulan intelektual, pro sukan, pro hiburan dan wanita remaja.

Hanya kumpulan intelektual sahaja yang pergi ke laman-laman politik seperti Malaysiakini dan Harakahdaily.

(Antara laporan yang popular dalam BeutifulNara.com yang menjadikan laman ini dimasuki anak muda)

Namun tiga kumpulan lagi itu tidak pergi ke laman-laman yang serius ini.

Laman yang popular di kalangan remaja khasnya tiga kumpulan ini sudah tentulah Facebook.

Hampir kesemua pengguna laman web di Malaysia mempunyai akaun Facebook, menjadikan laman ini paling popular di Malaysia khasnya di kalangan anak muda.

Di samping Facebook, mereka pergi ke laman Busuk.org yang berada diranking ke 49 laman web di Malaysia dan BeatifulNara.com (68).

Kedua-dua laman ini tidak membincangkan isu politik tetapi hanya sesekali sahaja menyiarkan tulisan berunsur politik.

Busuk.org misalnya penuh dengan berita pengajaran dan pengalaman berdasarkan cerita peribadi penulisnya di samping agama dan hiburan yang pro Islam.

BeatifulNara pula penuh dengan cerita sensasi, pengajaran dan yang paling popular adalah cerita artis dan dunia hiburan.

Ia sesuai dengan mottonya Selebriti, Hiburan dan Gosip.

Pendek kata, kedua-dua pihak samada BN atau Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini bakal mengharungi pengalaman baru dalam kempen mereka.

Mereka terpaksa bercakap dan berinteraksi dengan kumpulan pengundi yang tidak minat untuk bercakap dan berinteraksi dengan mereka.

Kalau selama ini BN menguasai politik Malaysia melalui 3M iaitu Money, Mechinery dan Media, kini tidak lagi.

Ini kerana, dengan pergabungan antara tiga parti pembangkang utama iaitu PAS, PKR dan DAP, BN kini mempunyai lawan yang amat ampuh.

Kalau selama ini, BN sentiasa menang melalui penguasaanya ke atas media, dalam pilihan raya umum akan datang ini tidak akan berlaku lagi.

30 peratus pengundi atas pagar ini bukan lagi dipengaruhi media yang dikuasai BN (TV, radio atau surat khabar) tetapi media baru yang tidak ada pihak yang boleh mengawal.

Ini menjadikan benarlah apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Najib Razak bahawa pilihan raya ke 13 akan datang ini adalah ibu kepada segala pilihan raya bagi BN dan Umno.

Ini kerana, tidak ada lebihnya BN dalam pilihan raya ini kerana padang kini sudah hampir sama rata.

Mungkin kerana itulah, isu-isu perkauman, 13 Mei dan seumpamanya menjadi senjata baru BN untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia.

Namun melalui media baru, sampai ke manakah strategi itu.

Oleh Zulkifli Sulong

Komen Anda

0 Responses to "PRU13: Anak muda dan media baru"