Thursday, 23 August 2012

Pemuda PAS: Kenyataan Karpal jejas sokongan Melayu

Timbalan ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberi amaran bahawa kritikan oleh pengerusi DAP Karpal Singh berhubung pelaksanaan hukum hudud akan menyebabkan PAS kehilangan sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya akan datang.

NONEAkhbar Berita Harian hari ini melaporkan Nik Mohamad Abduh sebagai berkata, kenyataan pengerusi DAP itu memberi gambaran kepada masyarakat Islam bahawa DAP "tidak mesra Islam dan orang Melayu".

"Dari sudut sentimen, kelihatan Karpal Singh, melalui beberapa kenyataan terakhirnya, terlalu yakin DAP tidak memerlukan undi Melayu untuk menang selesa. Sama ada itu satu risiko yang boleh diserap oleh DAP atau tidak, tapi bagi saya hampir pasti boleh menjejaskan undi rakannya dalam Pakatan terutama PAS.

"Walaupun berhak atas nama hak bersuara untuk bercakap dan mengkritik, tetapi atas nama hak kesepakatan bersama pakatan juga perlu untuk tidak memanaskan isu yang 'setuju untuk tidak bersetuju', termasuk perihal dasar perjuangan setiap parti.

"Sama ada kritikan beliau itu atas premis mempertahan sekularisme negara ataupun jahil mahupun keras pedal atau anti Islam, semua itu mendorong kepada andaian bahawa DAP tidak mesra agama Islam dan undi Melayu," kata Nik Mohamad Abduh seperti dilaporkan Berita Harian.

Anak kepada musyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat itu berkata, kenyataan Karpal berhubung hudud sebelum ini juga bertentangan dengan pendirian bersama Pakatan Rakyat.
pas muktamar 130610 nasruddin hassan 1Sementara itu, ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan pula menyifatkan kenyataan Karpal yang terus mempertikaikan hudud "semakin keterlaluan" dan dijangka "bakal berdepan dengan kemarahan orang Islam".

"Saya saran DAP nasihatkan Karpal supaya tidak pertikai hukum hudud sekali gus jaga sensitiviti umat Islam serta hubungan baik sesama Pakatan," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Laporan itu turut memetik kenyataan Mufti Kedah Datuk Muhamad Baderudin Ahmad yang menggesa Karpal supaya menghentikan kritikan berhubung pelaksanaan hudud.

“Karpal perlu menghentikan segala kritikan dan tohmahan yang dilemparkan selama ini kerana mencetuskan kekeliruan pelbagai pihak.

"Dalam situasi ini, Karpal harus menghormati sensitiviti semua agama terutama agama Islam berikutan agama Islam adalah agama rasmi di Malaysia," kataya. -MK

Komen Anda

0 Responses to "Pemuda PAS: Kenyataan Karpal jejas sokongan Melayu"