Thursday, 30 August 2012

Mahluk Perosak Cuba Sabotaj FELDA

Kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengurus Felda menyebabkan pihak pembangkang, yang disifatkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai makhluk perosak berputih mata dalam usaha mereka untuk menyangkal usaha kerajaan dalam mempertingkatkan pencapaian Felda ke tahap yang lebih tinggi.

Menurut Najib, pelbagai fitnah dan dakyah telah ditabur oleh ‘makhluk perosak’ ini termasuklah membawa isu penyenaraian Felda di dalam bursa saham ke mahkamah untuk menghalang usaha baik yang dilakukan oleh pihak kerajaan.
“Hari ini, tidak sampai dua bulan selepas disenaraikan, warga Felda akan menerima dividen mereka tidak lama lagi. Selain itu, Felda sendiri kini mempunyai dana yang bernilai RM 5.99 bilion hasil daripada penyenaraian di dalam bursa saham.

“Sekiranya dicampur dengan dana yang diperolehi oleh FGVH, maka keseluruhannya dana yang ada di dalam akaun Felda kini berjumlah RM 10.5 bilion,” ujar beliau ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Raya Felda yang julung-julung kali diadakan di bangunan baru Felda tersebut.

Tambah beliau lagi, begitu juga ketika kerajaan membuat keputusan untuk membeli bangunan baru Felda setinggi 50 tingkat yang terletak di Jalan Stonor, di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur. Pelbagai tohmahan dan fitnah yang telah dilemparkan oleh pihak pembangkang terhadap kerajaan, kononnya pembelian itu merupakan satu pembaziran dan sebagainya.

“Tetapi hari ini, saya telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan Felda bahawa bangunan Felda kini telahpun memperolehi pendatang lebih dari RM 400 ribu hasil dari sewaan dewan dan sebagainya,” tegas beliau.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa baki bonus durian runtuh yang diberikan sesebanyak RM 5 ribu kepada anak-anak Felda akan diberikan selewat-lewatnya pada bulan Oktober ini, selepas pembentangan belanjawan.

“InsyaAllah, kita akan berikan baki sebanyak RM 5 000 itu selepas kita bentangkan belanjawan. Sebelum ini kita telah berikan kepada ketua peneroka, isteri peneroka dan pada bulan 10 ini, giliran anak-anak peneroka pula akan mendapat habuan durian runtuh ini,” jelas beliau disambut dengan tepukan gemuruh oleh warga Felda yang hadir dalam majlis tersebut.

Beliau turut mengumumkan, kerajaan akan mendahulukan bayaran saham berjumlah lebih RM 600 juta untuk mana-mana warga Felda yang masih belum membeli saham-saham tersebut, di mana peneroka hanya perlu membayar sebanyak RM 50 sebulan sehingga habis jumlah pembayaran tersebut.

Majlis tersebut yang dihadiri hampir 5,000 warga Felda dan orang ramai turut dihadiri Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Yusoff Noor, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, wakil-wakil NGO dan juga kakitangan Felda. (MediaUMNO)

Komen Anda

0 Responses to "Mahluk Perosak Cuba Sabotaj FELDA"