Monday, 6 August 2012

Lee Chong Wei Gagal Raih Emas

Malaysia mungkin terpaksa menunggu empat tahun lagi iaitu pada Sukan Olimpik Brazil 2016 untuk meraih emas pertama negara pada temasya itu selepas badminton dan berbasikal gagal menyumbangkan emas semalam.

Dalam acara badminton, dianggap sebagai sukan yang mungkin menyumbangkan pingat emas bagi mengakhiri kemarau pingat emas negara pada temasya itu sejak 1956, sekadar memberikan perak menerusi Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki.

Chong Wei, pemain nombor dua dunia tumpas 21-15, 10-21, 19-21 kepada pemain nombor satu dunia dan juara bertahan, Lin Dan dari China pada perlawanan akhir malam tadi, yang juga kekalahan keduanya kepada lawan yang sama semasa perlawanan akhir di Olimpik Beijing 2008.

Mungkin beraksi pada Olimpik terakhirnya berikutan faktor usia yang kini mencecah 30 tahun, Chong Wei berkata beliau sudah memberikan yang terbaik namun Lin Dan membuktikan beliau berada di kelasnya tersendiri.

"Ini kali kedua saya mengecewakan harapan rakyat Malaysia. Saya sudah melakukan yang terbaik tetapi Lin Dan bermain lebih baik," katanya.

Terdahulu dalam saingan tempat ketiga dan empat, beregu nombor lapan dunia Koo Kien Keat/Tan Boon Heong gagal menyumbangkan pingat gangsa kepada Malaysia apabila tumpas kepada pasangan Korea Selatan, Chung Jae Sung/Lee Yong Dae.

Pasangan negara itu kalah 21-23, 10-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 47 minit.
Selain badminton, acara berbasikal trek yang disasarkan menyumbangkan pingat kepada Malaysia, juga gagal mencatatkan keputusan positif apabila Mohd Azizulhasni Awang menamatkan saingan di tempat kelapan dalam acara pecut lelaki.

Mohd Azizulhasni terpaksa akur dengan kehebatan pelumba Britain, Jason Kenny apabila tumpas di peringkat suku akhir.

Pada perlumbaan penentuan tempat kelima hingga lapan, Mohd Azizulhasni menduduki tempat kelapan dan terakhir dalam kalangan empat pelumba di belakang pelumba Rusia, Denis Dmitriev; Jimmy Watkins (Amerika Syarikat) dan Robert Forstermann (Jerman).

Penantian Malaysia untuk meraih pingat emas pertama akan diteruskan hari ini apabila Yeoh Ken Nee dan Huang Qiang turun beraksi dalam acara 3m papan anjal individu lelaki.

Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia: Chong Wei

"Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana masih gagal menghadiahkan pingat emas buat kali kedua," kata pemain perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei.

Begitulah reaksi pemain nombor dua dunia itu ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2012 apabila tumpas 21-15, 10-21, 19-21 kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China dalam masa 79 minit.
Chong Wei berkata tiada siapa tahu penderitaan dan pengorbanannya beraksi di Arena Wembley terutama selepas pulih daripada kecederaan buku lali kanan yang dialaminya semasa Piala Thomas pada Mei lalu.

"Saya terpaksa berehat hampir dua bulan selepas kecederaan itu sedangkan Sukan Olimpik semakin hampir. Tekanan bagi mendapatkan emas semakin kuat tetapi kecederaan menghalang saya untuk berlatih," katanya.

Beliau berkata dia hanya mempunyai tempoh dua minggu berlatih sepenuhnya ketika menjalani latihan fasa akhir di University of Bath, dekat sini sebelum beraksi di Arena Wembley.

"Di University of Bath, baru saya dapat berjoging, melakukan latihan di gimnasium dan latihan berat lain.

Mengenai perlawanan menentang Lin Dan malam tadi, Chong Wei mengakui pemain dari Tembok Besar China itu berada dalam kelasnya tersendiri dan masih sukar digugat.

-BH

Komen Anda

0 Responses to "Lee Chong Wei Gagal Raih Emas"