Monday, 6 August 2012

KM Sabah: Janji royalti 20 peratus 'tak logik'

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata janji Pakatan Rakyat untuk meningkatkan bayaran royalti minyak Sabah dari 5 peratus kepada 20 peratus merupakan janji yang tidak logik.

Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia hari ini, Musa berkata wang dari hasil minyak Sabah disalurkan semula ke negeri itu melalui perbelanjaan oleh kerajaan persekutuan.

"Itu janji yang tidak logik, sebagai sebahagian sebuah negara kita perlu ada tolak ansur, kita sedar sejak sabah bersama-sama membentuk Malaysia, kerajaan pusat telah membelanjakan berbilion ringgit bagi membangun pelbagia infrastruktur termasuk sekolah hospital, jalan raya dan sebagainya.

"Itu belum lagi dicampur dengan kos pertahanan dan kesealamatan negeri yangmemakan belanja besar. Kita perlu mengambil kira banyak pengagihan lain yang diberikan oleh kerajana pusat melalui pelbagai kaedah, kita perlu lihat dari skop yang lebih luas," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Isu royalti minyak menjadi tawaran utama Pakatan Rakyat kepada pengundi Sabah semenjak pilihan raya umum 2008.

Ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali mengulangi janji untuk meningkatkan bayaran royalti berkenaan yang didakwa diberikan secara tidak adil kepada Sabah.

Mengulas mengenai masalah kebanjiran warga asing di negeri itu, yang turut menjadi agenda utama Pakatan Rakyat di Sabah, Musa berkata negeri berkenaan menghadapi masalah untuk menguruskan warga asing warga Filipina.

"Di Sabah yang paling ramai adalah warga Indonesia dan Filipina. Bagi warga Indonesia kita tidak ada masalah untuk menghantar pulang kerana mereka mempunai konsulat di Sabah.

"Malangnya masalah melibatkan warga Filipina agak sukar diuruskan kerana negara itu tidak mempunyai konsulat di sini.

"Jika pembangkang mengatakan kita tidak berbuat apa-apa ia adalah tidak benar sama sekali, ini kerana kita sedaya upaya telah berusaha menyelesaikan masalah ini yang sudah pasti akan mengambil masa," katanya lagi dalam wawancara tersebut.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa tindakan ke atas pendatang haram di Sabah bukanlah perkara mudah untuk diselesaikan.

Perkembangan di negeri tersebut kini menarik perhatian ekoran tindakan dua anggota Parlimen BN Sabah, Datuk Seri Wilfred Bumburing daripada Upko dan Datuk Seri Lajim Ukin dari Umno, berpaling tadah dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Susulan tindakan dua MP tersebut pada akhir bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bergegas ke Sabah Dua pada 3 Ogos dan mengumumkan terma rujukan untuk suruhanjaya diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang haram negeri itu.

Beliau juga menolak anggapan bahawa lebih ramai anggota parti komponen BN akan berpaling tadah, antaranya daripada Upko dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

-MK

Komen Anda

0 Responses to "KM Sabah: Janji royalti 20 peratus 'tak logik'"