Saturday, 25 August 2012

KDN diminta perjelas manipulasi kadar jenayah

Pakatan Rakyat mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menberi penjelasan berhubung dakwaan manipulasi data jenayah.

Mereka merujuk kepada satu surat daripada "Sumun Osram" yang mengaku sebagai pegawai polis yang tidak mahu dikenali yang mendedahkan wujudnya manipulasi data jenayah bagi menampakkan kadar jenayah menurun.

Surat tersebut mendakwa terdapat percubaan sistematik untuk menurunkan perangkaan jenayah dengan cara menukarkan jenayah indeks kepada jenayah bukan indeks.

Penukaran tersebut dilakukan ketika laporan polis dibuat di mana klasifikasi 'jenayah indeks' akan direkodkan dalam sistem laporan polis sebagai 'bukan-indeks' bagi tujuan perangkaan.

Dalam satu kenyataan bersama oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Dr. Hatta Ramli (Kuala Krai), Liew Chin Tong (Bukit Bendera) hari ini, mereka mahu pihak kerajaan memberi penjelasan segera berhubung dakwaan surat tersebut.

"Dakwaan tersebut sangat serius kerana ia menimbulkan keraguan kepada integriti perangkaan rasmi, dan seterusnya integriti Menteri Dalam Negeri, Pemandu dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM)," kata mereka.

Mengikut surat 'Sumun Osram', jenayah yang dimanipulasi termasuk:

(A) Kes-kes kecurian diklasifikasikan sebagai Jenayah Indeks di bawah Akta Jenayah. Laporan mengenai jenayah ini akan diklasifikasi di bawah seksyen 382 Akta Jenayah. Oleh kerana seksyen 382 Akta Jenayah adalah jenayah bukan indeks, ia tidak akan direkodkan dalam perangkaan kadar jenayah.

(B) Samun di bawah Seksyen 457 Akta Jenayah merupakan jenayah indeks. Laporan yang diterima akan diklasifikasikan di bawah Seksyen 452 dan 453 Akta Jenayah. Oleh kerana seksyen 452 dan 453 Akta Jenayah adalah jenayah bukan indeks, ia tidak akan direkodkan dalam perangkaan kadar jenayah.

(C) Menyebabkan kecederaan adalah jenayah Indeks di bawah seksyen 324 dan 326 Akta Jenayah. Laporan yang diterima akan diklasifikasikan di bawah Seksyen 148 Akta Jenayah. Oleh kerana Seksyen 148 Akta Jenayah adalah jenayah bukan indeks, ia tidak akan direkodkan dalam perangkaan kadar jenayah.

Perangkaan rasmi hanya mengandungi jenayah indeks sahaja iaitu jenayah yang dilaporkan pada kadar kekerapan yang signifikan.

Jenayah bukan Indeks pula merupakan kes-kes kecil yang tidak berlaku secara kerap.

"Pakatan Rakyat meminta agar Hishammuddin dan Idris Jala untuk mendedahkan perangkaan kes-kes yang diklasifikasikan di bawah seksyen-seksyen 148, 382, 452 dan 453 Akta Jenayah selepas perlaksanaan NKRA sehingga ke hari ini dan tiga tahun sebelum perlaksanaan NKRA bagi membuktikan kebenaran," tegas mereka. -HD

Komen Anda

0 Responses to "KDN diminta perjelas manipulasi kadar jenayah"