Saturday, 25 August 2012

Judi bola boleh, berlagak mahukan Islam?

Kalau judi bola pun hendak dilaksanakan oleh pemimpin Umno, tidak perlulah parti itu berlagak mahukan Islam, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz.

"Hari ini, beberapa pemimpin Umno berlakon dan menipu rakyat dengan berpura-pura mahukan Islam ketika masih segar dalam ingatan rakyat merekalah yang gilakan judi bola.

"Sikap itu bukan sahaja anti-Islam malah menjatuhkan maruah orang Islam yang lain kerana orang bukan Islam di dalam DAP pun menentang judi bola itu," katanya.

Mahfuz berkata, Umno bukan sahaja bersungguh-sungguh hendak mewujudkan judi bola malah memperbanyak dan memperluaskan judi sedia ada yang turut dibantah oleh DAP.

"Walaupun kerajaan yang dipimpin oleh Umno membatalkan keinginannya hendak mewujudkan judi bola, tetapi bukan kerana keyakinan kepada Islam.

"Bukan kerana Islam tetapi kerajaan Umno membatalkan keinginan hendak mewujudkan judi bola itu disebabkan tentangan yang meluas termasuk dari rakyat bukan beragama Islam malah ahli-ahli Parlimen dari DAP antara yang lantang menentang hasrat Umno itu," katanya.

Mahfuz mengingatkan, Umno tidak perlulah berlakon kononnya mahukan Islam kerana pada masa yang sama tindakannya lebih banyak mengingkari Islam.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, rakyat tidak henti-henti menyaksikan Umno mengulang-ulang sikap menuduh undang-undang Islam tidak sesuai dilaksanakan walaupun tidak berani lagi mencerca undang-undang hudud sebagai primitif dan sebagainya seperti yang mereka lakukan sebelum ini.

"Para pemimpin Umno tidak henti-henti menolak undang-undang Islam tanpa sebarang hujjah yang munasabah, malah berbelit-belit dengan dalih-dalih yang telah lama dipatahkan," katanya.

Mahfuz menekankan, sepatutnya para pemimpin Umno yang beragama Islam beriman kepada undang-undang Allah dan bukan mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan secara terang-terangan penghinaan mereka kepada undang-undang Allah kerana menyifatkannya tidak sesuai dan menggambarkannya tidak adil.

"Tidak mahu buat tidak memberikan hak kepada Umno untuk menghina undang-undang Islam.

"Kini, Umno tidak boleh lagi marah-marah kalau rakyat menuduh Umno bukan sahaja mengkhinati dan menjual bangsa, ugama Islam juga dihina dan dikhinati berulang-ulang kali," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahfuz mengalu-alukan pandangan seorang ahli akademik yang mengakui PAS tetap mempertahankan pendiriannya.

Sebuah akhbar harian hari ini melaporkan, pensyarah Perhubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid berkata, PAS dan DAP akan terus mempertahankan pendirian mereka dalam isu hudud.

Akhbar yang sebelum ini dilaporkan sebagai ditentukan kandungannya oleh Biro Politik Umno itu seterusnya melaporkan bahawa pensyarah itu juga berkata, PAS "tidak akan lari daripada hukum hudud".

-HD

Komen Anda

0 Responses to "Judi bola boleh, berlagak mahukan Islam?"