Wednesday, 1 August 2012

Isu Lajim, Bumburing cetus saingan sengit

Tindakan dua ahli parlimen BN Sabah yang menyatakan ikrar untuk menyokong Pakatan Rakyat keluar parti beberapa hari lalu bakal mencetuskan persaingan sengit di negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang, menurut pemimpin Pakatan.

Setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata tindakan ahli parlimen Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin dan ahli parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing keluar parti itu juga bakal memberi impak kepada suasana politik negeri itu.

Katanya, beliau difahamkan perjumpaan MP berkenaan dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini "menggambarkan sokongan yang kuat" kepada Pakatan.

"Ini satu perkembangan yang menarik dan memberi impak kepada politik Sabah. Kesediaan mereka bersama Pakatan Rakyat, merupakan satu perkembangan bahawa satu pertarungan sengit akan berlaku," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Katanya lagi, Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat akan membincangkan kedudukan MP berkenaan dalam menghadapi pilihan raya yang semakin hampir.

"Kita akan bincang tentang kedudukan mereka. Secara prinsipnya mereka bersama Pakatan menentang BN," katanya.

Mustafa berkata Pakatan kini sedang "memantau dan terlibat" dalam suasana politik baru di negeri tersebut memandangkang pengumuman kedua-dua MP berkenaan baru dilakukan dua hari lalu.

"Kita akan buat (tentukan kedudukan mereka berdua)," kata Mustafa dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di ibu negara hari ini.

Mustafa juga menolak dakwaan pihak tertentu dalam Umno bahawa MP berkenaan bertindak demikian kerana kecewa dengan parti tersebut.

"Itu standard jawapan mereka (BN). Kalau tak guna dia kena pecat lama dah. Lagi pun ura-ura ini dah lama," katanya.

Turut hadir dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat hari ini adalah Datuk Fauzi Shaari, Nurul Izzah Anwar, Teresa Kok, Dr Hatta Ramli dan Liew Chin Tong.

-MK

Komen Anda

0 Responses to "Isu Lajim, Bumburing cetus saingan sengit"