Saturday, 18 August 2012

Antara DAP atau UMNO yang haram di undi?

Separuh abad Umno menempelak PAS kerana mencampuradukkan agama Islam dan politik. PAS dikatakan mengeluarkan fatwa politik apabila mengaitkan perjuangan Islam yang dibawa dengan halal, haram, dosa dan pahala.

Hari ini seluruh umat Islam di negara ini dapat menyaksikan bahawa tempelakan Umno itu kembali menikam diri sendiri apabila seorang ulamak penjilat Umno mengisytiharkan fatwa bahawa haram mengundi DAP kerana menolak negara Islam dan hukum hudud. Ulamak songsang Umno itu turut memfatwakan bahawa haram juga menyokong parti yang bekerjasama dengan DAP iaitu PAS dan KeADILan.

Terdesak sungguh Umno apabila sampai ke tahap menunggangi ulamak mereka bagi mengeluarkan fatwa merapu bagi memuaskan nafsu serakah para pemimpin Umno untuk terus kekal berkuasa hingga kiamat.

DAP tidak bersaing dengan calon Melayu Islam dalam pilihanraya. Mereka berlawan dengan calon bukan Melayu/Islam di kawasan di mana peratus pengundi bukan Melayu adalah tinggi. DAP bersaing dengan calon bukan Melayu dari MCA, Gerakan, MIC, KeADILan dan sebagainya.

Semua orang tahu DAP dan MCA sama saja sikap mereka terhadap hukum hudud dan negara Islam. Presiden Chua Soi Lek menganggap seorang ADUN Umno yang mencadangkan pelaksanaan hudud sebagai 'hilang akal.' Hilang akal bermaksud gila. Pelakon video lucah itu juga mengugut akan mengkaji hubungan dengan Umno jika terus memikirkan agenda hudud. Jangankan hudud dalam Enakmen (seperti yang telah diluluskan di Kelantan dan Terengganu di bawah PAS), dalam angan-angan pun MCA tak benarkan Umno. Lalu bagaimana ulamak penjilat Umno boleh mengisytiharkan MCA sebagai kafir zimmi, sedangkan kafir zimmi adalah golongan yang bernaung di bawah kerajaan Islam tetapi tidak menyanggah perundangan Islam. Perundangan Islam di dalamnya terdapat hukum hudud yang MCA sanggah. Ulamak Umno sudah pening.

Walaupun MCA dan DAP sama-sama tidak menyetujui negara Islam (yang sebenar) dan hudud tetapi kedua parti itu berbeza dari aspek integriti. MCA adalah parti pelopor rasuah dan penyelewengan, racis dan hanya memikirkan kepentingan masyarakat Cina semata-mata manakala DAP tegas menolak rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan terhadap golongan lemah. DAP tidak berlandaskan perkauman, dianggotai pelbagai kaum termasuk juga kalangan Melayu Islam yang mengucap dua kalimah syahadah. Pembelaan mereka semua kaum. Terbukti, Lim Guang Eng dari DAP pernah dipenjara hanya kerana membela seorang nenek yang cucunya dianiayai pemimpin Melayu. Sepanjang MCA dan Gerakan membina persengkokolan kuasa di Pusat, bangsa Melayu menjadi kucing dalam ekonomi. Sedangkan sepanjang tempoh itu, tidak ada satu hari pun DAP berkuasa di Pusat. Jelas dari semua aspek penilaian yang ada kebaikan DAP lebih mengatasi MCA atau Gerakan dan MIC. Cuma DAP 'nampak jahat' di kalangan segolongan Melayu kerana kejayaan media propaganda Umno memburukkan DAP.

Ulamak upahan Umno memberi dalil bahawa penolakan DAP terhadap hudud dan negara Islam sebagai sebab parti itu haram diundi. Bagaimana pula antara Umno dan PAS? Sejak sejak awal penubuhannya PAS istiqomah bahawa hukum hudud wajib dilaksanakan. Enakmen hudud pernah lulus di Kelantan dan Terengganu sewaktu kekuasaan PAS, cuma tidak mampu dilaksanakan kerana halangan kerajaan Pusat yang diterajui BN.

Umno pula sejak dahulu istiqomah dengan sikap dolak dalik terhadap hudud yang lebih menjurus kepada menolak pelaksanaan hukum Allah itu. Sudah berkitab kenyataan para pemimpin Umno sepanjang sejarah mempersendakan hukum Allah SWT itu. Termasuk dengan melabel hukum hudud sebagai hudud PAS. Apabila Umno dicabar mengemukakan hudud sebenar kalau sudah hudud Kelantan dan Terengganu adalah hudud PAS, maka Umno hanya mampu termonyeh-monyeh.

Jika hudud yang menjadi asas haramnya DAP diundi menurut fatwa songsang ulamak Umno itu, maka Umno juga haram diundi kerana sikap berdolak dalik yang menjurus kepada penolakan terhadap hukum Allah itu! Maka semua yang bersekongkol dengan Umno juga (dalam BN) haramlah diundi dalam pilihanraya.

Ulamak Umno membuat fatwa berasaskan sikap pihak tertentu terhadap hudud lalu menjatuh hukum. Hudud hanya satu juzuk dalam Islam. Bagaimana pula dengan aspek lain yang lebih luas. Sepanjang 55 tahun berkuasa Umno ternyata gagal dalam memantapkan aqidah umat Islam, masyarakat Islam hilang syaksiah serta kefahaman terhadap Islam mengikut tasawwur yang diterap Umno menjadi celaru. Umno gagal membangunkan ekonomi ummah, menjadi kucing kurap dalam ekonomi berbanding pihak lain.

Umno mengilangkan RM52 billion saham umat Islam di samping menggadai hampir separuh Tanah Simpanan Melayu. Menggunakan RM77 juta duit rakyat untuk diberikan kepada Yahudi APCO bagi menggilap imej melawan parti yang memperjuangkan Islam. Khazanah kekayaan negara diagih kepada kroni melalui rasuah dan penyelewengan sehingga mencecah berbillion ringgit sejak merdeka. Beribu rakyat dikurung tanpa bicara melalui akta zalim, bahkan kerajaan Umno pernah membunuh berbelas orang PAS dengan kejam di Memali.

Nah, berasaskan aspek penilaian yang lebih luas itu ternyata Umno 100 kali lebih haram diundi berbanding PAS!

Oleh ZULKIFLI YAHAYA (DD)

Komen Anda

0 Responses to "Antara DAP atau UMNO yang haram di undi?"