Friday, 13 July 2012

RCI Hanya Mimpi Kosong?

HASRAT Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) untuk menyiasat kerakyatan songsang hanyalah mimpi kosong jika Kerajaan Negeri Sabah masih melayan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang mendapat MyKad projek sebagai 'Warganegara Kelas Pertama' dan terus menindas Anak Negeri Sabah.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah (AMK), Citra Masadi ketika menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi berkata, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) yang turut diketuai oleh individu yang mendapat kerakyatan songsang telah menyebabkan nasib Anak Negeri Sabah terus tertindas dan sekaligus meleburkan Visi 1Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Contoh terbaik kata Citra ialah kes pertikian tanah, No 18 (Tahun 2011) antara Anak Negeri Sabah, Ninah Bte Gaya dengan PATI yang bernama Haji Wahab Bin Nonong di Lahad Datu yang satu masa dahulu digemparkan oleh videoklip, 'Tuhan UMNO Hanya Dapat Surau PPRT!'

Dalam kes pertikaian tanah berkenaan, PATI dibenarkan memohon 'Tanah Adat' dan telah dikeluarkan geran yang kononnya telah dibatalkan setelah pemohon pertama memfailkan bantahan kerana Geran NT dikeluarkan status CL bagi membolehkan PATI berkenaan memiliki sebahagian tanah tersebut, sebagaimana yang diputuskan Penolong Pemungut Hasil Tanah Lahad Datu.

"Kita minta Kerajaan Negeri Sabah bertegas agar sesiapa sahaja yang memiliki MyKad projek tidak dibenarkan memohon tanah atau memiliki tanah sejajar dengan desakan penubuhan RCI oleh rakyat Sabah," ujar Citra yang mendesak Ketua Menteri Sabah, campur tangan berhubung isu tanah ini kerana sudah berlarutan sejak hampir setahun lalu.

Kata Citra, jika isu surau ini dibangkitkan menjelang bulan Ramadhan tahun lalu dan kini Ramadhan menjelang tiba lagi, di manakah maruah Kerajaan Negeri jika isu surau dan tanah sekecil ini dipaksa berkongsi dengan PATI daripada Filipina yang telah dikenalpasti memiliki IC projek.

"Jangan persendakan doa orang yang teraniaya, terutama penduduk Silam Bukit yang tidak mempunyai Surau untuk beribadah. Di manakah Adun Lahad Datu ketika ini? Apakah mengikut jejak Ahli Parlimen Silam yang bergegas menunaikan Umrah setiap kali tiba Ramadhan bagi melarikan tanggung jawab mereka?," tanya Citra yang mendesak agar pemimpin Islam di Silam bertaubat nasuha kerana perbuatan mereka menghina agama.

Tegas Citra, mereka patut malu kepada pemimpin LDP, Chong Su Vun yang tampil menghulurkan bantuan sedangkan Wakil Rakyat di Silam termasuk 'seorang Ustaz lulusan Al-Azhar membisu seribu bahasa.

"Kita dapat tahu kes ini telah diajukan kepada Ketua Menteri Sabah dan imam berkenaan telah dipanggil menemui Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri, tetapi amat memalukan kes tapak tanah surau ini belum selesai sehingga umat Islam berada dalam dilema," kata Citra jengkel dengan sikap sambil lewa JTU dan Jabatan Ketua Menteri berhubung isu penting ini.

Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN

Komen Anda

0 Responses to "RCI Hanya Mimpi Kosong?"