Thursday, 19 July 2012

Petrol 1 liter 1Ringgit 1Malaysia (P1L1R1M)?

atuk Seri Najib Tun Razak mengajak semua rakyat negara ini mengemukakan sebarang cadangan serta idea yang bernas bagi Bajet 2013. Oleh kerana Negara kita sudah terkenal dengan 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan sebagainya, maka kita cadangkan agar kerajaan perlu memberi kepada semua rakyat Petrol 1Malaysia atau Petrol 1 liter 1 Ringgit 1Malaysia (P1L1R1M). Dengan harga petrol 1 liter 1 ringgit maka semua rakyat akan menikmati hasilnya, bukan hanya segelintir saja seperti pemberian BR1M.

Dengan penurunan harga petrol maka segala Kos pengangkutan sudah pasti dapat dikurangkan dan dengan ini harga barang keperluan juga boleh diturunkan. Punca utama harga barangan naik adalah disebabkan Kos
pengangkutan yang mahal disebabkan harga bahan api yang digunakan oleh kenderaan pengangkutan juga mahal.

Kalau kerajaan mampu menurunkan harga petrol, kita yakin tiada sebab untuk para peniaga menaikan harga barang keperluan dan sudah pasti kehidupan rakyat akan seimbang dengan pendapatan harian mereka.

Beranikah Datuk Seri Najib mengumumkan harga Petrol 1Malaysia seperti yang dicadangkan seperti diatas? Kalau kerajaan Najib mampu membuat demikian, sudah pasti rakyat akan menikmati kehidupan yang lebih baik dan mampu memiliki barang keperluan yang sepatutnya.

Sekarang hampir semua barang keperluan naik, seperti Kos harga rumah yang melambung terlalu tinggi sehingga golongan pendapatan rendah dan sederhana tidak mampu memiliki rumah yang mencecah harga setengah juta ringgit sebuah. Punca pendapatan yang tidak seimbang dengan keperluan seharian menyebabkan rakyat Malaysia dilanda masalah hutang yang berpanjangan.

Adakah kerajaan pernah memikir masalah dan nasib rakyat yang tidak mampu memiliki rumah sendiri di seluruh Negara? Harga rumah mahal begitu juga dengan harga kenderaan sehingga sukar untuk rakyat
memilikinya tanpa berhutang berpanjangan. Ada diantara mereka terpaksa meminjam wang dengan 'Along' untuk memiliki barang keperluan tersebut dan ada yang terpaksa menjualkan harta pusaka semata-mata untuk
membayar hutang yang berpanjangan.

Kalau kerajaan benar-benar ikhlas hendak membantu rakyat, barang keperluan inilah yang sepatutnya diberi keutamaan kepada rakyat. Antara lain, kalau di Sarawak jalan penghubungan, tanah untuk pertanian, tempat kediaman dan juga infrastruktur perlu diberi keutamaan bukan hanya memberi barang keperluan sekali saja. Ini bukan jalan penyelesaian yang terbaik tetapi lebih bersifat sementara saja seperti pemberian BR1M dan sebagainya.

Rakyat perlu diberi pendidikan serta kursus kemahiran agar mereka boleh berdikari tanpa memerlukan bantuan kerajaan sepenuhnya tetapi dengan syarat kerajaan perlu memberi tempat ruang perniagaan serta
tempat untuk mereka menggunakan kemahiran mereka tanpa sebarang sekatan yang boleh membantutkan usaha mereka.

Apa yang dilakukan kerajaan selama ini menyebabkan rakyat terbantut fikiran mereka dan terus bergantung hidup dengan kerajaan terutama sekali penduduk diluar bandar. Mereka diugut dengan kata-kata yang menakutkan mereka, seperti sekiranya rakyat tidak menyokong pemerintah segala bantuan dan kemudahan akan ditarik balik dan rakyat akan hidup susah kalau memilih kerajaan lain selain kerajaan BN. Kata-kata inilah yang telah merosakkan pemikiran rakyat yang kurang berpelajaran termasuk juga mereka yang ada kepentingan dalam urusan peniagaan dengan pihak kerajaan.

Kita tidak mahu rakyat hidup dalam ketakutan sehingga mereka jadi lemah dan tidak mampu berdikari disebabkan cara pemikiran mereka telah diracun oleh pemerintah yang sudah lama memerintah. Kita tidak mahu rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu dan juga Bumiputera jauh ketinggalan dari segi ekonomi dan terus hidup dalam kemiskinan.

Mereka hanya bergantung kepada subsidi kerajaan sehingga mereka langsung tidak mahu berubah disebabkan terlalu bergantung hidup dengan dasar kerajaan yang tidak memberi mereka ruang untuk bebas berfikir dan berdikari.

Kita harap kerajaan baru nanti dapat mengubah persepsi rakyat agar jangan hanya bergantung dengan subsidi tapi lebih kepada usaha sendiri. Kerajaan yang baru nanti perlu memberi lebih ruang untuk rakyat menjalankan usaha peniagaan mereka sendiri dan juga dapat mencipta sesuatu inovasi atau teknologi baru untuk kepentingan umum.

Harapan rakyat untuk melihat Malaysia setanding dengan Negara maju lain akan tercapai sekiranya pemerintah tidak menyekat rakyat bersuara dan membebankan rakyat dengan masalah bebanan hutang negara yang berpanjangan. Semoga impian rakyat Malaysia menjadi kenyataan pada masa hadapan dengan pemerintahan baru yang lebih baik dan adil untuk semua. Insya-Allah.

Jofri Jaraiee
PAS Sarawak Deputy Commissioner iii cum PAS Miri Chief
http://pas-miri.blogspot.com

Komen Anda

0 Responses to "Petrol 1 liter 1Ringgit 1Malaysia (P1L1R1M)?"