Friday, 13 July 2012

Pakatan khuatir undi pos luar negara dimanipulasi

Wakil Pakatan Rakyat dalam jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai penambahbaikan pilihan raya mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan mekanisme yang berkesan jika bercadang membenarkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi secara pos.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli berkata, Pakatan Rakyat bimbang undi pos mereka di luar negara turut dimanipulasi seperti yang berlaku kepada undi pos tentera dalam negara.

Katanya, Pakatan Rakyat sebelum ini memang mencadangkan urusan undi pos di luar negara dipermudahkan bagi memberi peluang warga negara Malaysia menjalankan tanggungjawab mereka.

"Kalau nak jalankan undi pos di luar negara, prosedur mesti telus. Kita bantah undi pos di Malaysia pun sebab tak telus dan dimanipulasi dan memang ada pendedahan dah dibuat," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman SPR bahawa mereka sedang mengkaji keperluan untuk meminda undang-undang yang membenarkan semua rakyat Malaysia di luar negara mengundi secara pos pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, usul itu akan dibawa ke sesi Dewan Rakyat yang akan bersidang September ini.

Namun katanya, rakyat Malaysia yang mahu menikmati kemudahan ini mesti berada dalam negara sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun sebelum Dewan Rakyat dibubarkan.

Hatta berkata, Pakatan juga pernah mencadangkan perkara itu dan tidak mahu sebarang syarat dikenakan warga negara di luar untuk mengundi secara pos.

"PAS juga memandang perkara ini satu perkembangan positif dan kita amat bersetuju bahawa warga negara Malaysia yang berada di luar negara juga diberikan hak mereka untuk menyertai pilihan raya dan memilih kerajaan yang mereka sukai.

"Dalam PSC Pakatan menyokong penuh hasrat ini satu perkembanagn baru dalam sistem pilihan raya kita malah mencadangkan urusan undi pos di luar negara dipermudahkan tanpa meletakkan sebarang syarat.

"Kita mengatakan bahawa dengan suasana komunikasi dan media hari ini rakyat di luar negara lebih mengetahui perkembangan Malaysia daripada sebahagian rakyat Malaysia sendiri," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Tak perlu pinda undang-undang baru

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke tidak bersetuju dengan cadangan SPR untuk meminda Akta Pilihan Raya sebaliknya beliau berkata, SPR hanya perlu meminda Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, dan Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

katanya, SPR hanya perlu menambahkan peruntukan dalam peraturan sedia ada bagi membolehkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi pada pilihan raya umum ke-13.

"SPR tidak perlu meminda Akta Pilihan Raya, sebaliknya mereka perlu meminda peraturan-peraturan untuk pendaftar pemilih dan pengundian pos.

“SPR hanya perlu memasukkan kategori ke dalam peraturan tersebut untuk membolehkan mereka mengundi," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Anthony juga menyifatkan pindaan akta itu sebagai membazir masa kerana mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan.

"SPR membazir masa jika mahu meminda akta. Peruntukan sudah ada, SPR hanya perlu memberikan tafsiran jelas terhadap pengundi pos dan mekanismenya sahaja," katanya.

-HD

Komen Anda

0 Responses to "Pakatan khuatir undi pos luar negara dimanipulasi"