Pemuda PAS Johor hari ini mendakwa, rombakan kepimpinan Pemuda Umno Johor dengan sendirinya mengesahkan terdapat krisis kepimpinan dalam pergerakan itu seperti didakwanya sebelum ini.

NONE"Kini dengan perubahan kepimpinan Umno negeri Johor bermula esok membuktikan kebenaran kenyataan saya sebelum ini," kata Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat (kiri).

"Mustahil bagi mana-mana parti politik membuat perubahan kepimpinan di saat-saat genting menghadapi pilihan raya terutamanya di Johor yang menjadi sasaran Pakatan Rakyat untuk menawannya."

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin semalam mengumumkan pelantikan Ketua Pemuda Parit Sulong Datuk Zulkurnain Kamisan menggantikan Mohd Fadil Muskon sebagai ketua Pemuda Negeri yang baru berkuatkuasa esok.

Menurut Khairy lagi, Mohd Fadil akan diberikan tugas baru sebagai pegawai khas bagi membantu Sekretariat Pemuda BN.

Dalam kenyataannya hari ini, Suhaizan turut menuntut penjelasan daripada pemimpin Umno negeri itu yang sebelum ini tampil menafikan dakwaannya.

"Rakyat Johor mahu tahu siapa yang menipu dalam pergolakan Pemuda Umno Johor. Adakah Pemuda Umno menipu rakyat Johor? Mereka yang menipu tidak layak menjadi pemimpin negeri dan negara ini," katanya.

Suhaizan dalam beberapa kenyataannya sebelum ini mendakwa Mohd Fadil tidak disenangi pemimpin akar umbi Pemuda yang mengkritiknya tidak menjaga kebajikan pergerakan itu di peringkat bahagian
"Sikap ‘budak baik' telah mengurangkan peluang pemimpin tertentu mendapat habuan mereka.

"Keadaan ini digunakan seteru politiknya untuk membangkitkan isu bahawa Mohd Fadil tidak menjaga kebajikan Ketua Pemuda Umno bahagian," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Dakwaan pergolakan itu bagaimanapun dinafikan pelbagai pihak dalam Pemuda Umno.
-MK