Sunday, 1 July 2012

Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Negeri Johor

Puluhan ribu rakyat Johor membanjiri Dataran Dahlia malam tadi bagi menyertai Himpunan Hijau ke Putrajaya yang turut membariskan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sambutan ini disifatkan oleh pelbagai pihak sebagai kesediaan PAS untuk membentuk kezahiran bermakna parti Islam itu di Johor dan membantu Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Majlis yang bermula 7 malam dengan solat Maghrib dan solat Munajat dan Tahlil itu turut menyaksikan penyerahan borang menyertai PAS oleh Hairie Othman, pelakun filem Bukit Kepong.

Majlis ini menjadi tumpuan kerana sebelum ini isu Bukit Kepong menjadi momokan Umno di Johor kononnya timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menyokong Komunis apabila beliau memuji peranan Mat Indera dalam satu ceramahnya.

Ia menjadi sebaliknya apabila pihak yang membuat laporan polis terhadap kes ini memohon maaf kepada Mohamad di mahkamah dan mengaku laporan polis yang beliau buat berdasarkan laporan media Umno iaitu Utusan Malaysia semata-mata.

Himpunan Hijau kali ini disertai juga Jamuan Anak Kelantan di Perantauan yang diadakan di Taman Kempas Permai.

Turut diadakan adalah jamuan makan malam bersama masyarakat Cina yang diadakan di sebuah restoran terkenal di Danga Bay dekat sini.

Di pentas utama di Dataran Dahlia, anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub secara rasmi diserahkan kepada Johor kembali apabila Tuan Guru NIk Aziz melakukan upacara penyerahan rasmi itu.

Dengan ini, segala berita-berita angin menjadi sahih, Salahudin akan bertanding di Johor dalam pilihan raya umum akan datang dengan diserahkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan kepada Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad.

Para pemerhati politik berpendapat, dengan lambatnya pilihan raya umum membolehkan mementum PAS malam tadi dikembangkan ke seluruh Johor.

Ini kerana, jika Pakatan Rakyat mahu ke Putrajaya, sumbangan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen diperlukan Pakatan dari Johor. -HD












Komen Anda

0 Responses to "Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Negeri Johor"