Sunday, 1 July 2012

BN Pilih John Ghani Punca Lajim Keluar Parti?

PEMIMPIN Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kuala Penyu, Datuk John Ghani besar kemungkinan berpeluang bertanding sebagai calon parti pemerintah sekiranya usaha untuk memujuknya menyertai semula Barisan Nasional (BN) berjaya.

KONTROVERSI.....Gambar kontroversi ini menjadi punca Lajim dikatakan menyertai pembangkang kerana menghadiri Majlis Krismas John Ghani.

Bekas Adun Bebas Kuala Penyu itu dikatakan sedang dalam perundingan dengan pemimpin atasan BN dalam usaha memujuk dia kembali ke perjuangan BN namun masih belum jawapan pasti daripada beliau.

Sumber terdekat dengan Umno menyatakan bahawa John Ghani sudah dipanggil oleh pemimpin atasan BN dan sudah diberitahu mengenai hasrat membawa beliau kembali ke pangkuan BN yang pernah menjadi landasan perjuangannya sebelum ini.

Usaha itu dilakukan sebagai alternatif untuk mengimbangi pengaruh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Lajim Ukin yang diura-urakan akan meninggalkan BN sebaik sahaja Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Menurut sumber itu, jika Lajim menyertai parti pembangkang, PKR, BN dijangka menghadapi kesukaran untuk mempertahankan kerusi Parlimen Beaufort dan DUN Klias malah beberapa kerusi DUN lain seperti Lumadan, Kuala Penyu dan Membakut dijangka turut terjejas.

Situasi itu dikatakan tidak disenangi pucuk pimpinan BN negeri dan langkah memujuk John Ghani dikatakan antara usaha yang sedang dilakukan walaupun pemerhati politik beranggapan John Ghani sudah mengalami kemerosotan sokongan khusus di Kuala Penyu kerana gagal menunaikan janji sepanjang menjadi Adun Bebas sebelum ditewaskan John Teo Mau Sing pada pilihan raya umum 2008.

Pimpinan BN Sabah dijangka mempergunakan Upko sebagai saluran John Ghani untuk masuk semula ke dalam BN jika ia direstui Presiden parti itu, Tan Sri Bernard Giluk Dompok.

Sebelum ini, parti itu pernah membincangkan permohonan John Ghani untuk menyertai Upko namun putus di tengah jalan apabila pemimpin PKR itu dikatakan meletakkan syarat.

Namun begitu, John Ghani berkemungkinan besar akan memenuhi tawaran untuk kembali ke dalam BN sekiranya Upko bersetuju meletakkan beliau sebagai calon BN di DUN Kuala Penyu dalam pilihan raya umum ke-13.

Sungguh pun belum ada kata putus dicapai, John Ghani dilihat lebih berminat sekiranya diberi peluang menjadi calon semula kerana beliau dikatakan sering menyatakan bahawa PRU ke-13 adalah yang terakhirnya baginya yang kini mencecah usia lebih 60 tahun, jelas sumber itu lagi.

Tidak semudah perancangan pimpinan atasan BN, halangan lain yang terpaksa dihadapi John Ghani ialah pemimpin-pemimpin veteran di dalam Upko Beaufort yang sudah tentu tidak rela merestui kerana mereka dikatakan bermati-matian melobi untuk menjadi calon. Bagaimanapun jika dicalonkan, BN diramal akan mengalami kekalahan teruk di Kuala Penyu.

Sekiranya John Ghani diterima kembali ke dalam BN dan diberi peluang menjadi calon atas tiket BN, beliau juga akan berada dalam dilema kerana Datuk Lajim dikatakan akan menawarkan beberapa calon muda yang berpotensi dari parti-parti komponen BN yang sudah lama bekerja keras untuk BN untuk bertanding atas tiket PKR bagi menentang John Ghani yang sudah dianggap sebagai 'Kuda Tua' yang perlu direhatkan.

Yang lebih parah lagi sebahagian besar ahli jawatankuasa bahagian Upko selain Umno yang dikuasai Datuk Lajim dijangka mengucapkan sayonara kepada parti masing-masing seterusnya mengalih sokongan kepada PKR yang pasti menampilkan orang muda yang berpotensi jika BN terdesak mempergunakan John Ghani.

Oleh : PENULIS KHAS (sabahkini)

Komen Anda

0 Responses to "BN Pilih John Ghani Punca Lajim Keluar Parti?"