Saturday, 9 June 2012

SPR Mansuh Pamer & Bantah Untuk Elak Bakal Calon UMNO/BN ditolak

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memansuhkan proses pamer dan bantah adalah kerana bimbang calon-calon BN disabotaj ahli mereka sendiri.

Menurutnya, gerakan sabotaj itu wujud sejak 2008 lagi dan lebih ketara sejak kebelakangan ini sehingga Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor mengeluarkan amaran keras kepada pihak yang beniat melakukan tindakan itu.

Malah katanya, kenyataan pimpinan Umno bahawa calon yang akan bertanding pada pilihan raya kali ini tidak semestinya Ketua Bahagian, mampu menjuruskan sabotaj itu akan benar-benar berlaku.

"Tindakan SPR itu menjelaskan bahawa wujud satu gerakan sabotaj kepada calon BN yang akan bertanding pada pilihanraya nanti dalam bentuk teknikal yang akan memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada calon Pakatan Rakyat.

"SPR cuba melindungi kemungkinan besar berlaku gerakan sabotaj dalam Umno-BN yang sememangnya telah berlaku sebelum ini," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pula berpendapat proses pamer dan bantah perlu bagi memastikan calon yang mewakili setiap parti itu bersih dari perkara-perkara yang menjejaskan diri sebagai calon.

"Proses pamer dan bantah itu adalah satu tindakan untuk kita melihat bahawa calon yang bertanding itu bersih terutama dari segi bankrup serta tidak mempunyai rekod jenayah.

"Apabila proses itu ada, kita boleh membantah kerana kita tidak mahu calon yang bertanding itu mempunyai rekod yang boleh menjejaskan beliau sebagai calon apatah lagi bila memenangi pilihanraya," katanya.

Keputusan terbaru SPR itu juga kata Azmin, jelas menunjukkan badan pilihan raya itu hanya berminat kepada isu-isu serpihan sedangkan perkara besar seperti daftar pemilih yang bersih, kebebasan media mahupun kerajaan sementara tidak diberi keutamaan.

"Kenapa tidak memberi tumpuan kepada perkara yang menjaminkan pilihanraya bersih dan adil.

"Ini yang kita dalam Pakatan Rakyat hadapi, SPR sepatutnya menyenangkan keadaan bukannya menyulitkan keadaan," tegasnya. -HD

Komen Anda

0 Responses to "SPR Mansuh Pamer & Bantah Untuk Elak Bakal Calon UMNO/BN ditolak"