Wednesday, 20 June 2012

RTM, Media Prima dan Awani: Siapa yang kurang berbelit?

Kerajaan telah memberi respons terhadap tuntutan akses media yang adil dan saksama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Bagaimanapun tidak ramai pemimpin Pakatan Rakyat yang menyuarakan reaksi, walaupun akhbar harian milik Umno membesar-besarkannya.

Mungkin aktivis pembangkang tidak menaruh apa-apa harapan positif terhadap perkembangan yang sepatutnya dapat membantu proses pendemokrasian itu.

Minggu lalu, jemaah menteri meluluskan kertas kabinet yang dikemukakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim, yang dikatakan memberi peluang sama rata setiap parti politik yang bertanding pada PRU13 untuk menjelaskan manifesto masing-masing menerusi stesen televisyen.

Saya agak kerap menyentuh tuntutan penting ini, bukan sahaja merujuk situasi selepas Parlimen dibubarkan atau semasa kempen pilihan raya, tetapi meliputi konsep kebebasan media yang menyeluruh.

Undang-undang yang menyekat, yang diwarisi sejak zaman penjajah, terutama Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, mesti dimansuhkan segera. Begitu juga dengan segala peruntukan tidak demokratik dalam peraturan yang mengongkong, misalnya Akta Rahsia Rasmi, Akta Fitnah, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

(Saya tidak pasti apakah "hantu" ISA masih boleh mengamuk apabila kerajaan berasa perlu berbuat demikian, selepas ia dimansuhkan, tetapi melalui akta-akta lain?)

Media bukan hanya perlu dibebaskan dan bertindak adil dalam waktu yang begitu terhad -- ingat, kempen PRU tidak pernah melebihi dua minggu -- malah tidak wajar dicengkam kebebasannya dalam apa jua keadaan.

Secara logiknya, jika dalam tempoh tidak kritikal pun, iaitu di luar musim pilihan raya, media dikawal dengan begitu ketat, apakah mungkin di waktu genting -- apatah lagi yang menyaksikan pertarungan paling sengit dalam sejarah pilihan raya negara ini -- "keajaiban" bakal berlaku?

Dalam masa sama, seperti kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Umno-BN telah melakukan proses indoktrinasi sepanjang tahun, dan tentunya akan ditingkatkan menjelang pilihan raya. Ia meliputi media yang dibiayai dana awam dan juga yang dimiliki syarikat swasta.

Justeru, banyak pihak memandang sinis ura-ura kerajaan mahu memberi "peluang sama rata" itu, apatah lagi melalui siaran TV, medium yang paling terkongkong dan dikawal cukup ketat oleh elit penguasa.

Di kala oposisi diberikan permit terbatas untuk menerbitkan lidah rasmi, seperti Harakah dan Roket (Suara Keadilan masih diharamkan KDN), dengan syarat-syarat "pelik dan aneh", harapan untuk melihat pembangkang memiliki saluran TV atau radio tidak pernah terbayang pun.

Sejak kemunculan televisyen pada penghujung 1963, RTM melalui TV1 dilihat bukan sahaja berfungsi menjelaskan dasar dan rancangan kerajaan tetapi lebih bertindak sebagai alat propaganda parti pemerintah.

Pemimpin Umno-BN sememangnya tidak dapat membedakan di antara keperluan kerajaan dengan
kepentingan parti pemerintah. Jentera, sumber dan kemudahan kerajaan diperalatkan demi mencapai motif peribadi, kelompok dan parti.

Ketika TV3 dilancarkan 28 tahun lalu, melalui Sistem Televisyen Malaysia Berhad, ramai mengharapkan dasar kewartawanan sempit RTM itu tidak "dilanggannya". Monopoli kerajaan seolah-olah berakhir.

Sesekali nampak "keberanian" TV3 untuk melaporkan berita dari perspektif berbeda, sekurang-kurangnya memberi sedikit ruang kepada parti dan pemimpin pembangkang.

Seingat saya, sewaktu tercetus konroversi kematian (pembunuhan) seorang petugas kempen PAS, Allahyarham Osman Talib, dalam pilihan raya kecil Padang Terap, Kedah, di Felda Lubuk Merbau, pada Januari 1985, siaran berita TV3 ditunggu-tunggu.

Bosan dengan laporan lapuk RTM yang berat sebelah, hanya dengan sedikit kelainan, dengan turut memuatkan beberapa patah perkataan pandangan pemimpin PAS terhadap tragedi berdarah itu, sudah cukup untuk memberi kelegaan.

Rupanya harapan untuk melihat pembaharuan dalam dasar editorial TV3 ia hanya ilusi. TV3, yang kemudiannya dikendalikan Media Prima Berhad, dengan tiga lagi saluran televisyen (NTV7, 8TV dan TV9), bertindak lebih profesional untuk menjadi perkakas terbaik dan efisyen buat Umno-BN!

Malah, kini, Media Prima lebih dipercayai oleh strategis media Perdana Menteri Najib Razak untuk melancarkan propaganda BN secara lebih berkesan. Misalnya, siri "Jelajah Janji Ditepati" yang mempromosi dan menjenamakan semula pelbagai bentuk bantuan one-off dikendalikan TV3.

Chamil Wariya, bekas Ketua Divisyen Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3, cuba mengungkapkan apa yang sebenarnya berlaku di stesen televisyen berkenaan, terutama daru segi pendemokrasian kandungan laporan politik, dalam bukun Memapar Realitui: Prinsip-Prinsip Utama dan Asas Kewartawanan Siaran.

Baginya, kecuali di Astro Awani, program-program berita Media Prima Berhad, RTM dan Bernama TV masih mengekalkan pendirian mesra kerajaan. (Saya rasa istilah lebih tepat ialah mesra Umno-BN, kalaupun bukan mesin propaganda parti berkenaan).

"Pengaruh pemilikan tidak mengizinkan bilik-bilik berita TV untuk mengambil pendekatan dan dasar editorial yang benar-benar bebas seperti terdapat di negara-negara Barat atau malah di Indonesia," tulisan Chamil dipetik.

Beliau mengemukakan contoh stesen TV di Indonesia terutama dua saluran beritanya -- Metro TV dan TV One -- mengambil sikap yang lebih terbuka dalam memberi publisiti kepada pemimpin kerajaan dan pembangkang. Parti politik dan calon yang bertanding diberi ruang untuk berdebat secara terbuka dan bertamadun pada masa pilihan raya, baik ketika pemilihan presiden, gabenor, wali kota dan wakil ke Dewan Permesyuaratan Rakyat (DPR).

"Di Malaysia, kita masih jauh daripada itu, kecuali berlaku perubahan radikal dalam pemilikan stesen-stesen TV swasta itu sendiri. Selagi stesen TV masih digenggam oleh kalangan yang rapat dengan kerajaan, pendemokrasian kandungan editorial, tidak akan berlaku," tambah Chamil.

Seterusnya beliau memberikan beberapa contoh kes penerbit program TV yang dikenakan tindakan kerana telah melanggar dasar RTM, seperti dialami Chow Z Lam, penerbit rancangan Galeri Mandarin di TV2 menjelang pilihan raya kecil Parlimen Sibu, Sarawak, Mei 2010, mengenai Empangan Bakun, yang didakwa mempunyai "elemen yang sesnitif yang mungkin memudaratkan BN ..."

Dasar kewartawanan stesen TV Media Prima, seperti ditekankan Chamil, juga seperti RTM, yang cenderung menyiarkan berita negatif pembangkang. Meskipun ada usaha untuk merubahnya dalam era Abdullah Ahmad Badawi, seperti turut mengkritik pemimpin kerajaan dan memberi tempat kepada pembangkang, akhirnya ia mengundang teguran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Pengerusi SKMM, Dr Halim Shafie mengutus surat, bertajuk Ucapan pemimpin parti pembangkang di stesen televisyen dan radio swasta, kepada stesen-stesen TV dan radio swasta, pada 7 Jun 2007.

Antara lain, beliau menyatakan: "Adalalah dimaklumkan bahawa pihak kerajaan mendapati bahawa beberapa stesen TV dan radio swasta telah menyiarkan ucapan dari pemimpin parti pembangkang. Sehubungan dengan itu, pihak tuan adalah diminta untuk tidak lagi menyiarkan ucapan sedemikian di masa-masa akan datang."

Chamil juga merumuskan bahawa kepemimpinan editorial TV (dan Media Prima) di zaman Najib, bermula 3 Mac 2009, yang diterajui Johan Jafar dan Ahmad A Talib, kembali kepada asal.

"Wartawan yang ingin memampilkan pembangkang atas nama pegangan mahu melaksanakan pemberitaan seimbang, saksama, objektif dan mahu memberi pandangan pihak yang satu lagi kepada dasar dan pendirian kerajaan sebagaimana yang diamalkan dalam demokrasi Barat, tidak dapat tempat dalam organisasi media itu (Media Prima)," ujarnya.

Kita dapat menyaksikan bagaimana program bual bicara ehwal semasa yang agak terbuka dan diminati ramai, misalnya Hujah di TV9, yang dikendalikan oleh pensyarah kanan Sains Politik, Dr Mohammad Agus Yusof, terpaksa berdepan pelbagai kerumitan, terutama kerana mengundang personaliti pembangkang. Begitu juga dengan Debat di RTM1.

Percubaan Astro Awani, melalui saluran 501, yang bermula pada September 2007, juga dilihat agak memberangsangkan, jika dilihat dalam konteks media Malaysia yang terkongkong.

Suara pembangkang, pemimpin NGO dan tokoh akademik yang bebas dan "mencabar versi rasmi" muncul dalam program bual bicara Awani. Para wartawan dan editornya juga saya kira berbeda daripada karyawan RTM dan Media Prima; ada kesungguhan untuk menampilkan pembaharuan dalam dunia kewartawanan televisyen.

Khususnya semasa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak, saya sendiri menunggu ulasan berani dan bernas daripada ahli-ahli penal yang diundang. Namun begitu, saya perhatikan, rakan-rakan di Awani turut dikawal oleh pegawai-pegawai Pejabat Perdana Menteri, yang sentiasa "memberikan nasihat, tapi bukan dalam bentuk hitam-putih, dan ia mesti dipatuhi".

Berdasarkan situasi itu, saya sukar membayangkan kesediaan kerajaan untuk memberi ruang dan peluang sama rata buat parti dan calon-calon bertanding, khususnya melalui televisyen.

Kita masih menunggu perincian bagaimana slot kempen itu dijalankan nanti. Apakah sekadar menyampaikan manifesto pilihan raya, dalam waktu terbatas, dengan syarat-syarat ketat pula? Ya, bagaimana bentuk akses sama rata itu?

Kalau selama ini, hanya untuk menyiarkan iklan berbayar manifesto pilihan raya, akhbar yang dikawal Umno-BN langsung tidak memberi ruang kepada pembangkang, apakah kali ini ia benar-benar satu pembaharuan politik? Sama-sama kita tunggu.

Dalam buku Reformasi Pembiayaan Politik di Malaysia, terbitan Transparency International - Malaysia, saya tertarik dengan pernyataan di halaman terakhirnya: "Di Amerika Latin, hampir semua negara memastikan kebebasan akses kepada media semasa pilihan raya dan terdapat prosedur dalam memperuntukkan masa ke udara dan ruang dalam media cetak, justeru mewujudkan satu aras medan permainan untuk semua pihak."

Sesungguhnya Malaysia yang mengimpikan akan melonjak ke tahap negara maju pada tahun 2020 masih jauh tertinggal di belakang dalam hal akses media dan peruntukan airtime buat pembangkang sewaktu pilihan raya. Banyak negara yang dianggap lebih mundur tetapi kemajuan demokrasinya jauh membanggakan berbanding kita.

Apa pun, saya masih mengimpikan, seperti diuar-uarkan juak-juak Najib, transformasi bakal menjelma dalam PRU13 nanti. Semoga saya tidak bermimpi di siang hari ..

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN (DD)

Komen Anda

0 Responses to "RTM, Media Prima dan Awani: Siapa yang kurang berbelit?"