Friday, 8 June 2012

RCI Malapetaka Buat Sabah?

PERSETUJUAN Perdana Menteri dan Kabinet Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) di Sabah bukanlah rahmat buat Sabah, sebaliknya malapetaka berpanjangan disebabkan Terma Rujukan (TOR) menjadi mimpi ngeri kerana termasuk penjenayah, Yang Berhormat dan Yang Di Pertua Negeri?

Jika Setiausaha Agung Dewan Perindustrian dan Perniagaan India Muslim (DPPIMS) Mohd Ansar Maidin menggunakan Sijil Lahir dan Mykad orang mati; Adun Sibatik, Muis Picho disahkan salah seorang pemegang MyKad Projek; Datu Akjan Datu Ali Muhammad mengisytiharkan diri sebagai Sultan Sulu ketika memegang kerakyat songsang Malaysia; malah Bekas Ketua Menteri Sabah dan Mantan TYT Sabah, Tun Sakaran Dandai turut memalsukan keterangan diri untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia; siapalah juga Arsad Bin Hj Alwi, Guru Penolong Kanan di SMK Balung yang menggunakan kad pengenalan palsu milik nelayan miskin di Kuala Abai, Kota Belud.

Kerajaan Malaysia dan Sabah yang masih berdolak dalih dalam mencari titik temu untuk menjayakan RCI mungkin terpanggang oleh 'Political Will' yang akan meranapkan peluang Barisan Nasional mempertahankan 20 kerusi Parlimen dan 60 Kerusi Dun di Sabah jika TOR merujuk kepada semua warga asing yang mendapat kerakyatan songsang; terutama ketika Ops Gembleng di era 90-an.

Mungkin agak menjengkelkan Pasukan Petugas Khas Persekutuan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia seakan lumpuh menguatkuasakan undang-undang kerana budaya rasuah yang begitu menunjangi sistem pemerintahan negara.

Mustahil Jabatan Pendaftaran Negara tidak sedar bahawa Tun Sakaran; Muis Picho; Mohd Ansar Maidin; Datu Akjan Datu Ali Muhammad dan Arsad Haji Alwi (sekadar menyebut beberapa nama yang telah dilaporkan Sabahkini.net) telah memanipulasi undang-undang dan memalsukan keterangan diri untuk mendapat kerakyatan songsang; sama ada ditaja sindiket tertentu atau NGO berpengaruh sebagai mana yang saya huraikan dalam buku IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah, Pengundi Untyuk Di Sewa, IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir.

Saya ingin menumpukan artikel ini kepada kes Arsad Haji Alwi, Guru Penolong Kanan di SMK Balung yang kebal kerana 'Suaka Politik' daripada UMNO dan YB-YB yang berkepentingan sekalipun telah dibahaskan di Parlimen Malaysia oleh Ahli Parlimen Sabah termasuk Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing dan Datuk Chua Soon Boi.

Saya melalui jalan yang sukar untuk mengesan pemilik asal kad pengenalan yang digunakan Arsad kerana tidak ada seorang Wakil Rakyat UMNO mahu membantu mengesan pengundi mereka yang teraniaya ini.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan; Adun Tempasuk, Datuk Musbah Jamli dan Adun Usukan, Datuk Japlin Ahkim tidak langsung menjawab telefon dan SMS sedangkan mereka kenal pengundi mereka, A Ramlee @ Ramli Bin Rasim yang hidup melarat di Desa Pingitan, Kuala Abai.

Mujur Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said telah membantu saya dengan segala daya upaya beliau mengesan mangsa birokrasi JPN ini sehingga saya dapat menemui A Ramlee dengan bantuan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK Kuala Abai.

"Kita melihat isu ini amat serius dan kerana itu UMNO Sabah telah membuat pendirian tegas mendesak penubuhan RCI. Isu A Ramlee ini adalah episod sedih rakyat Sabah yang menghadapi karenah birokrasi. Kita mendesak agar JPN dan agensi kerajaan yang lain mengutamakan dan menyelesaikan kes ini secara saksama," ujar Salleh ketika diminta pendapatnya berhubung isu ini.

Tegas Salleh, beliau hanya mendapat tahu isu ini melalui Sabahkini.net dan telah mengarahkan jenteranya membantu mengesan A Ramlee agar krisis identiti yang dialaminya dapat diselesaikan segera.

"A Ramlee berhak menikmati kehidupan yang lebih baik sebagai warga negara Malaysia dan haknya yang dirampas oleh mereka yang tidak berhak selama ini wajar dikembalikan," kata Salleh yang menggesa agar kes A Ramlee dijadikan 'Alibi' paling kukuh untuk rujukan RCI.

More info....Sabahkini

Oleh : MUTALIB M.D

Komen Anda

0 Responses to "RCI Malapetaka Buat Sabah?"