Thursday, 7 June 2012

Projek NKRA Yang Memalukan

PROJEK Sistem Bekalan Air Kg. Tingkayu, Kunak, Sabah yang dilaksanakan melalui Tender Terhad KKLWT. 50/2011 oleh Protokol Juta Sdn Bhd dengan kos sejumlah RM16,005,736 bagi tempoh selama 18 bulan merupakan 'batu asah' untuk menyembelih leher Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal pada PRU-13.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah, Citra Masadi membuat tamsilan demikian sebagai mengulas rungutan penduduk kampung Tingkayu dan sekitarnya yang menghadapi masalah sejak projek berkenaan dilaksanakan tahun lalu.

"Kita bukan sahaja menghadapi masalah catuan bekalan air yang terlalu lama, malah terputus bekalan air seiap hari dan ada kawasan yang langsung tidak mendapat bekalan air sejak tahun lalu," kata Citra yang membayangkan pihaknya mungkin terpaksa melaksanakan amaran yang dibuat tahun lalu iaitu untuk mengirim air kencing kepada Perdana Menteri jika masalah bekalan air di Kunak tidak di atasi segera.

Kata Citra, pihaknya bukan sahaja menghadapi masalah meter air palsu dan kontraktor pemasangan paip yang tidak bertauliah, malah kontraktor dan sub-kontraktor yang langsung tidak berkelayakan dan menggunakan tenaga pendatang asing tanpa izin setelah kontrak berkenaan diserahkan kepada beberapa sub-kontraktor.

Akibatnya, mutu kerja langsung tidak memuaskan iaitu kegagalan kontraktor menutup semula lubang yang digali atau permukaan jalan yang telah ditanam paip sehingga banyak kenderaan terkandas.

"Kita sudah banyak kali mengadu tetapi Juruperunding Jabatan Air dan Sub-Kontraktor besar kepala. Jadi kita memberi amaran jika masalah kerosakan jalan raya akibat kerja penanaman paip kita akan mengadakan sekatan jalan dan demonstrasi," kata Citra yang memaklumkan penduduk Kunak sudah muak dengan janji Ahli Parlimen Silam dan Adun Kunak.

Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN

Komen Anda

0 Responses to "Projek NKRA Yang Memalukan"