Thursday, 28 June 2012

Persepsi orientalis dan sikap apologis Terhadap Morsi

Dalam laporan dan komentar sebahagian besar media Barat mengenai dunia Islam, identiti ideologi politik tidak dapat dielakkan daripada disebut untuk memperkenalkan kedudukan seseorang individu atau kumpulan tersebut.

Selain kecenderungan - yang dalam banyak kes dibuat-buat - untuk melabel dengan label "progresif," dan "moderat," satu lagi kecenderungan ialah memberi label Islamis.

Label Islamis, dari sudut pandangan Barat yang bersifat orientalis memberi implikasi yang pelbagai, yang dalam pandangan hitam-putih mereka meletakkan kumpulan ini dalam kategori bertentangan dengan moderat, malah mempunyai kecenderungan ekstrem yang bertentangan dengan demokrasi, walaupun mereka menang hasil pilihan raya.

Liputan sejurus selepas kemenangan calon Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di Mesir, Mohamed Morsi memperlihatkan pandangan orientalis yang kuat dalam kalangan media Barat, terutama media besar di Amerika Syarikat dan Inggeris.

Pemerhatian pada laman web beberapa media Barat mendapati penggunaan istilah Islamis bagi menyifatkan Morsi, yang diumumkan menang jawatan presiden. Antara akhbar yang menggunakan istilah Islamis dalam laporan utama mereka ialah Washington Post (Islamist Morsi Wins Egyptian Presidential Vote), Wall Street Journal (Islamist Morsi Wins Wins Egypt's Presidential Vote), The Times (Islamist Morsi Becomes Egypt President), BBC (Islamist Mursi Wins Egyptian Presidency), dan Financial Times (Islamist Leader Wins Egyptian Presidency).

Penggunaan istilah Islamis mungkin tidak dilihat sebagai sesuatu yang lebih daripada sekadar satu identifikasi, tetapi identifikasi hanya kumpulan-kumpulan tertentu menjelaskan maksud dan implikasi penggunaan istilah atau label tersebut.

Ini kerana label (selain pengenalan biasa konservatif dan liberal) tidak digunakan terhadap terhadap kumpulan dominan yang diterima sebagai pegangan yang "sewajarnya." Label biasa digunakan terhadap kumpulan seperti Hamas dan gerakan Islam lain dan juga kumpulan berhaluan kiri.

Pemilihan penggunaan istilah Islamis dalam tajuk-tajuk berita utama di atas memberi kesan kepada audiens utama media terbabit, dan termasuk sebagai satu bentuk pembentukan pendapat dan agenda.

Satu lagi kecenderungan ialah perbandingan simplistik hitam-putih yang oleh pihak tertentu di Barat perkembangan melibatkan kumpulan Islam seperti yang berlaku di Mesir kini dengan pemerintahan seperti di Iran.

Wacana Orientalis seperti ini mencetuskan persoalan seperti Mesir menjadi seperti Iran, kebimbangan terhadap pemerintahan yang mengekang minoriti dan pelbagai soalan lain yang menggambarkan prejudis dan kelemahan dalam berfikir dan membaca sejarah semasa dan silam.

Pada masa sama, ramai daripada kalangan umat Muslim dan pengkagum Ikhwan al-Muslimin hanya melihat dari sudut tertentu, seperti isu Morsi yang dikatakan hafal al-Quran (dan ada yang kemudian membandingkannya dengan pemimpin-pemimpin pemerintah di negara ini sebagai satu serangan peribadi murahan) dan terlalu bergembira dengan kemenangan itu.

Wujud juga kecenderungan apologis dalam kalangan umat Muslim di seluruh dunia termasuk di Malaysia juga, yang suka menekankan kepada hal yang dilihat sebagai satu prioriti baharu gerakan Islam dan memberi gambaran gerakan Islam kini sudah matang dan tidak akan menumpukan pada isu agama.

Malah ada yang menyatakan Morsi akan meletak jawatan dalam parti dan Ikhwan "supaya dapat menjadi presiden untuk semua," seolah-olah beliau akan menjadi presiden untuk kelompok gerakan Islam sahaja jika tidak berbuat demikian.

Pelbagai persepsi dan wacana yang dipaksakan muncul dalam era ini, yang menyebabkan ramai menerima bulat-bulat hujah dikemukakan tanpa menilai dengan lebih kritikal, ketika gerakan dan parti Islam mula menjadi pilihan dalam sistem politik demokrasi.

http://siasahdaily.blogspot.com/

Komen Anda

0 Responses to "Persepsi orientalis dan sikap apologis Terhadap Morsi"