Tuesday, 26 June 2012

Manifesto PRU, Pakatan Rakyat akan terperangkap?

Untuk percaya, sukar tetapi sama-samalah kita tengok. Apakah janji Menteri Penerangan, Komunikasi Kebudayaan dan Warisan, Dato' Seri Dr Rais Yatim untuk memberi peluang kepada pembangkang mendapat ruang menyampaikan manifesto dalam PRU-13 menjadi kenyataan atau sebaliknya.

Dari segi logik akalnya, ia mustahil berlaku kecuali satu slot "sekadar mahu melepaskan batuk di tangga" bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa media yang dikawal kerajaan bersikap terbuka kepada pembangkang, sebagai membuktikan telah berlaku trasformasi media dan politik, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Hari ini, tonton sahaja "siaran langsung" dari Parlimen setiap hari berlakunya persidangan Parlimen, sering ucapan pembangkang "disenyapkan" tetapi kalau jawapan menteri atau timbalan menteri yang membelasah pembangkang, ia disiarkan sercara terus dan berulang-ulang. Lebih malang, slot sejam untuk siaran Parlimen itu, diganggu dengan "perbualan bersama Ahli Parlimen" yang topiknya, bertujuan memperendah-rendahkan pembangkang. Tetamu undangannya, 10 kali wakil BN dan sekali wakil pembangkang.

Apa sebenarnya yang Rais hendak sampaikan kepada umum, mengenai sikap keterbukaannya itu? Apakah beliau tidak pernah dan tidak berpengalaman menjadi pembangkang yang menyebabkan beliau terlalu alergik dengan pasukan oposisi ini? Jika setahun 365 hari media yang dikawal kerajaan menyerang pembangkang, sebenarnya apalah kesannya jika dalam tempoh 10-14 hari berkempen, pembangkang dibenarkan membentangkan manifestonya. Dari segi anak jantannya, lebih baik ditolak sahaja perlawaan dan janji Rais itu kerana sudah pasti, ada jerat yang sedang dipasang bagi memerangkap pembangkang.

Keterbukaan ini sebenarnya bagi menutup dakwaan bahawa demokrasi di Malaysia tempang dan hanya dikuasai oleh pihak yang sedang berkuasa. Hari ini, tiada sudut kerajaan yang dapat ditutup oleh Umno dan BN. Semua serangan pembangkang menyebabkan pihak yang sedang memegang kuasa "sesak nafas". Sering timbul perkara yang mereka mahu sembunyikan tetapi, dunia media dalam keadaan langkit terbuka, segala-galanya sudah terdedah! Banyak kes yang dikaitkan dengan pembangkang, media massa pro pemerintah akan menyerang habis-habisan pihak yang didakwa, hingga ia boleh mempengaruhi perbicaraan dan keputusan hakim.

Ambil contoh Himpun Bersih 3.0. Apakah tindak-tanduk media elektronik sekarang ini tidak merupakan satu usaha mengajak rakyat mengatakan peserta Himpun Bersih 3.0 itu sebagai kasar dan brutal? Apa tujuan tayangan "adegan-adegan selepas disunting" setiap jam yang sedang dilakukan sekarang. Ingat! Fitnah yang diulang-ulang akan dianggap sebagai fakta. Perkara bohong pun, jika diulang-ulang akan dijadikan ia sebagai sesuatu yang benar. Semua orang tahu, Rais sebagai Ahli Parlimen Jelebu, sudah sampai ke penghujung karier politiknya. Dalam Umno sendiri, beliau kalah setiap kali menawarkan diri bertanding kerusi Naib Presiden. Ia memberi signal, kehadirannya sudah melewati masa wajar.

Maka, suka atau tidak, Rais kena mengejar populariti yang semakin meleset. Beliau juga tentunya belum bersedia untuk menjadi "tokoh Warisan" yang akhirnya disusun gambar-gambarnya dalam Muzium. Maka, beliau kenalah berbuat sesuatu dengan hasrat "ada peluang lagi" memperbaharui jangka hayat politiknya. Sebagai ahli politik veteran, Rais tidak termampu mengejar populariti rakan-rakan sejawatannya yang lebih muda. Dengan kementerian yang beliau ketuai sekarang mempunyai pelbagai agensi dan peruntukan yang cukup besar, Rais mahukan peluang kekal selepas PRU-13 amat berkobar-kobar.

Jadi, salah satu strateginya ialah "mesra pembangkang". Langkah ini, tentulah tidak mendapat persetujuan rakan-rakan kabinetnya kerana tiada seorang pun yang menyatakan sokongan secara terbuka hasratnya memberi peluang akses media kepada pembangkang dalam PRU-13. Malahan, jangan terkejut, janji dan cadangan Rais itu akan dibatalkan dengan alasan masalah teknikal kerana Umno dan BN sudah acapkali "menarik sesuatu kebenaran" secara tiba-tiba. Pakatan Rakyat mestilah menyediakan satu kertas cadangan kepada kementerian pimpinan Rais ini, bagaimana cara untuk memenuhi peluang itu, jika ia benar-benar dilaksanakan.

Jangan hanya sekadar mengisi kekosongan dan di waktu yang tidak sesuai. Ketika mereka menggunakan waktu perdana, sedangkan pihak pembangkang diberikan ketika "waktu muram" yang tentunya pihak kementerian tahu bila ketikanya. Pakatan Rakyat jangan hanya menerima apa yang ditawarkan kecuali selepas mengadakan perbincangan dan kedua-dua pihak bersetuju dengan kertas cadangan dari pihak yang ditawarkan peluang. Kata orang, kalau hendak beri, beri betul-betul. Jangan menanam tebu di tepi bibir. Jangan bercakap ikut sedap mulut tetapi pada hakikatnya, mereka sendiri serba salah kerana "tak bagi" takut rakyat persoalkan hak mereka, nak bagi, takut pula mereka kerugian kerana tidak mampu berdepan dengan kenyataan.

Maklumlah, BN dan Umno menyembunyikan pelbagai isu dan bila Pakatan Rakyat dibenarkan muncul di kaca TV, mereka nanti tak cukup tanah melarikan diri kerana tidak mampu menjawab apa yang ditimbulkan. Ambil contoh dengan janji pembangkang mahu menurunkan harga minyak. Walaupun ia sukar tetapi ia bukan mustahil. Kita tunggu dan sejauh mana keinginan ini terlaksana!

Oleh Safar Jumaat (dd)

Komen Anda

0 Responses to "Manifesto PRU, Pakatan Rakyat akan terperangkap?"