Wednesday, 6 June 2012

K-Pop, drifter dan Azhar Idrus

Selepas perhimpunan belia anjuran BN, dua perkataan menjadi popular, K-Pop dan “drifter”.“Korean Pop” atau K-Pop adalah menjadi minat anak-anak muda kini. Dengan membawa artis K-Pop ke perhimpunan belia BN, ia mampu menarik kehadiran besar anak-anak muda.

Akan tetapi, kerana “singkat”nya kain gadis-gadis Korea yang membuat persembahan, ia mendatangkan bala kepada BN.

Apabila terbongkar jutaan RM dibelanjakan untuk membawa masuk kumpulan K-Pop tersebut, dua kali bala kepada BN.

Sukan bermotor “drift” memang telah lama menarik minat anak-anak muda Malaysia. Seorang “drifter” akan dilihat cool oleh gadis-gadia muda yang cun melecun.

Malang tak berbau, kemalangan berlaku ketika sukan drift sedang berlangsung.

Facebook dan Twitter menjadi medan untuk mengutuk tindakan BN membawa artis K-Pop serta kemalangan yang berlaku ketika sukan drift berjalan.

Ia menyebabkan menteri belia dan sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta maaf kepada rakyat seluruh negara.

Shabery sedar, walaupun berjaya menghimpunkan ramai belia, K-Pop dan drifter telah menyebabkan imej perhimpunan belia tersebut tercalar.

Azhar Idrus

Sebagai tindakan balas terhadap perhimpunan demi perhimpunan yang dianjur oleh Umno dan BN, PAS menghimpunkan puluhan ribu orang di Kedah dua tiga hari lalu.

PAS juga membawa “fenomena” anak muda terkini, Ustaz Azhar Idrus.

Barang siapa yang tidak mengenali Azhar Idrus, adalah orang yang ketinggalan zaman dan tidak mengikuti perkembangan semasa.

Walaupun Ustaz Azhar Idrus ini adalah seorang pendakwah Islam, kepekaannya mengikuti perkembangan terkini anak muda menyebabkan beliau menjadi begitu popular.

Setiap kali beliau datang ke Masjid Negeri Shah Alam, keadaan ibu negeri Selangor ini akan bertukar menjadi seolah-oleh seperti Lebaran. Ertinya, kenderaan akan melimpah ruah mengelilingi masjid.

Pada malam tahun baru, susuk tubuh Azhar Idrus dengan gandingan Zizan “Raja Lawak” berjaya menarik kehadiran lebih ramai anak muda ke Dataran Shah Alam berbanding Datuk Seri Najib Razak di ICT.

Siapa pilihan orang muda?

Sebenarnya, dua-dua acara anjuran Umno-BN dan PAS diatas hanyalah “penyedap rasa” dalam sesuatu masakan.

Dengan mengundang artis K-Pop tidaklah bermakna Umno akan dilihat lebih terbuka.

Dengan membawa “Ustaz Cool” tidaklah menggambarkan PAS sebagai tidak bersama reality masyarakat.

Yang lebih utama adalah apakah dasar atau polisi yang dibawa oleh kedua-dua parti politik Melayu tersebut.

Hari ini, kedua-dua Umno dan PAS telah bertukar watak. Kalau dahulu PAS seringkali dilihat sebagai ekstrimis Islam dan mengamalkan Islam garis keras, kini giliran Umno pula.

Masyarakat bukan Islam terutamanya etnik Cina berdiri teguh di belakang PAS. Dalam banyak hal yang melibatkan persoalan Islam atau Melayu, pendirian PAS dilihat lebih “moderate”.

Kehadiran NGO seperti Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim Ali, Jati pimpinan Datuk Dr Hasan Ali dan watak-watak seperti Datuk Zulkifli Noordin menambahkan lagi kebenciaan orang bukan Islam terhadap Umno.

Umno tidak boleh selama-lamanya bergantung dengan sokongan orang Melayu Felda serta di kawasan pendalaman. Sekarang mereka telah kalah di hampir kesemua kerusi di kawasan bandar di Semenanjung Malaysia.

Jika tiada Sabah dan Sarawak, BN tumbang pada PRU 12 lalu. Mampukah selama-lamanya Sabah dan Sarawak menjadi “fixed deposit” BN?
Walau apa yang bakal berlaku selepas PRU 13, terimalah dengan hati terbuka. Jangan sampai Malaysia hancur hanya kerana berlaku pertukaran parti yang menguruskan negara.

Oleh Amin Iskandar

Komen Anda

0 Responses to "K-Pop, drifter dan Azhar Idrus"