Monday, 11 June 2012

BN hadapi cabaran uruskan persepsi

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa parti-parti komponen BN berhadapan dengan cabaran menguruskan persepsi dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, cabaran itu timbul kerana pembangkang memutarbelitkan isu dan menyebarkannya kepada rakyat.

"Hal-hal yang tidak betul tetapi diulang berkali-kali dan disebarkan melalui media sosial.

"(Justeru) hari ini kita berhadapan dengan masalah persepsi," katanya tanpa memperincikan masalah persepsi berkenaan.

Justeru, beliau menggesa agar pimpinan setempat BN turun ke akar umbi mendekati rakyat untuk membetulkan persepsi tentang BN.

"Sebab itu hari ini kita ambil langkah proaktif dengan turun ke bawah tanpa orang tengah dan jumpa rakyat," katanya.

Dalam ucapan sama Muhyiddin turut menegaskan bahawa calon boleh menang BN akan datang perlu diterima bukan sahaja di peringkat parti tetapi juga diterima rakyat.

"Kalau dia peringkat parti popular, di bawah juga popular, mungkin inilah ciri-cirinya," katanya.

Beliau turut memberikan bayangan yang Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan, Datuk A Chandrakumanan akan diletakkan bertanding di Parlimen Batu - kerusi Parlimen yang secara tradisinya ditandingi parti Gerakan.

Chandrakumanan sewaktu ditemui Malaysiakini berkata beliau mengintai kemungkinan bertanding salah satu antara tiga kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan - Batu, Setiawangsa atau Bandar Tun Razak.

Walau bagaimana pun, beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada pimpinan tertinggi BN.

-MK

Komen Anda

0 Responses to "BN hadapi cabaran uruskan persepsi"