Wednesday, 20 June 2012

Abby Abadi : Peserta Himpunan Hijau tidak dibayar

TEMERLOH: Selebriti terkenal Abby Abadi menyatakan beliau kini sedar tuduhan bahawa orang-orang PAS dibayar untuk ke Perhimpunan Hijau di Alor Setar, Kedah baru-baru ini oleh orang-orang tertentu rupa-rupanya tidak benar.

Beliau yang terkenal dengan watak Inspektor Aleeza dalam siri drama Gerak Khas, berkata ini disebabkan beliau perhatikan sendiri dalam ceramah-ceramah PAS ahli-ahlinya yang menyumbangkan derma dan mereka tidak dibayar untuk hadir seperti diamalkan oleh sesetengah parti politik.

“Jadi saya yakin mereka tidak dibayar seperti yang diperkatakan dalam media sebelum ini,” katanya dalam program Talk Show Malam Keinsafan di Dataran Kompleks PAS Pahang, Kerdau malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan pengerusi majlis Ustaz Kamal Ashaari yang mengumumkan pelancarkan kutipan derma.

Turut menjadi ahli panel dalam program anjuran Pemuda PAS itu ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor.

Menceritakan tentang pengalamannya, Abby berkata beliau pada mulanya hanya melihat Islam itu hanya sebagai rutin umpamanya ramai-ramai pergi solat Jumaat dan acara-acara keagamaan tetapi tidak melibatkan kehidupan sosial.

“Tetapi setelah menunaikan ibadah haji ke Mekah barulah terbit rasa insaf dan mahu melakukan penghijrahan daripada hidup sebagai artis.

“Tak sangka pula penghijrahan saya mendapat perhatian ramai orang sehingga boleh dipanggil untuk berada di pentas PAS.

“Tapi saya seronok sangat dengan pengalaman baru ini, seronok dapat berkongsi sedikit sebanyak cara hidup Islam sebab tak pernah didedahkan dengan suasana seperti ini dulu,” ujarnya.

Ini merupakan kali kedua beliau berada di pentas PAS di Pahang. Kali pertama beliau dipanggil untuk majlis yang serupa di Kuala Lipis.

Abby yang kini berstatus ibu tunggal, berkata pada mulanya tidak ambil tahu sangat tentang politik. Setelah didedahkan kefahaman Islam dan banyak membaca barulah beliau faham kenapa perlunya perjuangan Islam.

Mengenai dunia artis, beliau berkata jika tak pandai membodek atau tak pandai melobi memang susah untuk dapat job.

“Sekarang saya rasa lebih lapang tidak kalut untuk mendapatkan peluang berlakon. Saya seronok dengan suasana baru ini,” jelasnya.

Beliau sempat menasihatkan generasi muda agar tidak leka sangat dengan dunia hiburan dan turut kesal masih ada filem yang memaparkan adegan-adegan ghairah sedangkan itu semua tidak menyumbang langsung kepada pendidikan generasi muda.

Sementara itu, kira-kira 5,000 yang hadir memberi tumpuan kepada Abby turut mendapat ‘usikan’ Nasruddin.

“Saya sedar siapa diri saya, orang datang bukan nak tengok saya,” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Abby turut diberi penghormatan melancarkan sebuah buku baru “Muslimat Celik Berpolitik’ tulisan Ustazah Anisah Tahir. -HD

Komen Anda

0 Responses to "Abby Abadi : Peserta Himpunan Hijau tidak dibayar"