Friday, 4 May 2012

Polis Buru 49 Individu Bersih 3.0

NONEKUALA LUMPUR: Lanjutan insiden keganasan ketika perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih 28 April lalu, pihak polis hari ini mengedarkan 49 keping gambar individu yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung keganasan sewaktu perhimpunan tersebut berlangsung.

Namun begitu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata, antara 49 individu tersebut, tiada seorang pun daripada mereka dikenal pasti sebagai anggota polis.
“Pihak polis telah mengedarkan 49 keping gambar individu yang dipercayai terlibat dengan perhimpunan Bersih 3.0 dan meminta mereka yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis berhampiran.

“Kalau ada (pihak) polis, ia mudah. Kita senang nak kenal pasti mereka,” katanya menjelaskan tiada polis terlibat dalam 49 individu terbabit.

Menurut Mohmad, pihaknya juga telah menerima 258 laporan polis daripada pelbagai pihak termasuk peguam, wartawan, peserta perhimpunan, peniaga, orang awam dan juga pihak polis berhubung insiden keganasan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka minggu lalu.

Selain itu, Mohmad turut menjelaskan, jumlah keseluruhan tangkapan perhimpunan Bersih 3.0 adalah seramai 513 individu dengan 22 daripadanya adalah pelajar.

“Kami juga mengharapkan individu yang terkilan dengan tindakan polis ketika perhimpunan untuk berhubung terus kepada Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah D7, ASP Azmi Aziz, di talian; 0122602344, 0193872344, atau emel azmiaziz@rmp.gov.my,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.

“Saya memberi jaminan, kesemua laporan polis ini akan diterima dan disiasat seadil-adilnya untuk memastikan proses perundangan di negara ini dapat ditegakkan sepenuhnya,” katanya.

Tambah Mohmad, sekiranya ada pihak yang mempunyai bukti keganasan polis kepada perusuh, orang awam, dan juga wartawan, polis menyeru mereka tampilkan kepada pihak berkuasa berkenaan.



“Dakwaan sahaja tidak memadai. Sila tampil dengan bukti kukuh supaya pihak polis dapat menyiasat perkara ini,” tegasnya menjawab pertanyaan wartawan berhubung keganasan polis terhadap pengamal media.

"Malah, polis juga sudah mengenal pasti alamat sebahagian daripada 49 individu ini,” katanya mengesahkan tiada pemimpin mana-mana parti ataupun pertubuhan dalam gambar tersebut.

Mohmad turut menjelaskan, sepanjang penyiasatan pihak polis terhadap insiden keganasan Bersih 3.0 itu, tiada pihak polis yang ditahan.

“Buat masa ini, masih belum ada jumlah bilangan anggota polis yang ditangkap,” katanya lagi.

Selain itu, Mohmad turut menegaskan, mana-mana pihak yang didapati bersalah mencetuskan keganasan ketika perhimpunan tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 143 dan 188 Kanun Keseksaan.

“Mereka ini boleh didakwa di bawah banyak kesalahan di bawah Kanun Keseksaan,” tambahnya.

Komen Anda

0 Responses to "Polis Buru 49 Individu Bersih 3.0"