Tuesday, 8 May 2012

Pejabat PM campur tangan pengaruhi undi pelajar?

urucakap Pro-Mahasiswa Nasional, Edikorp Lakip Sediyanto mendakwa Pejabat Perdana Menteri menubuhkan satu operasi khas untuk mempengaruhi undi pelajar dalam pilihan raya umum.

Bercakap dalam satu sidang media hari ini, Edikorp mendakwa operasi khas dinamakan Ops 2020 itu merupakan satu tindakan campur tangan dalam pilihan raya kampus.

"Menurut daripada sumber yang kami terima, operasi itu didalangi Pejabat Perdana Menteri.

"Secara mudahnya, operasi ini dibuat bagi memastikan bahawa undi mahasiswa tidak berpihak kepada Pakatan Rakyat," kata siswa Universiti Malaya itu lagi.

Beliau mendakwa, operasi berkenaan dijalankan melalui program seperti Aman Kampus - program jelajah ke seluruh universiti awam di seluruh negara anjuran satu kumpulan pelajar yang dinamakan Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia.

"Ini menunjukkan bahawa pihak Umno dan BN begitu terdesak untuk memenangi hati mahasiswa," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

'Banyak lagi akan dedah'

Oleh yang demikian, beliau menggesa supaya kerajaan segera menjalankan pilihan raya kampus yang sepatutnya diadakan pada Mac lalu.

Usaha Malaysiakini menghubungi Presiden Persatuan Alumni Aspirasi dan Aman Kampus, Mohd Shahar Abdullah bagi mendapatkan reaksinya setakat ini masih belum berhasil.

Sementara itu, pandangan sama turut disuarakan pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd Taufiq Abdul berkata keputusan menangguhkan pilihan raya kampus itu sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dengan Majlis Perwakilan Pelajar.

Beliau mendakwa, penangguhan berkenaan juga menunjukkan pentadbiran kampus bertindak "mengikut telunjuk Umno."

"Kami ada banyak lagi yang akan didedahkan.

Jika tidak adakan pilihan raya kampus dalam masa terdekat, kita tidak akan teragak-agak dedah pada media dan rakyat tentang beberapa lagi punca mengapa pilihan raya kampus ini ditangguhkan," katanya dalam sidang media sama.

-MK

Komen Anda

0 Responses to "Pejabat PM campur tangan pengaruhi undi pelajar?"