Tuesday, 8 May 2012

Nik Aziz Kafir, Rahim diberi 24 jam

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor (gambar) diberi tempoh 24 jam menarik balik tuduhan terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggapnya “bapa kafir”.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan, Hisham Fauzi berkata, kenyataan bekas ketua polis negara terbabit jelas tidak matang dan bersifat fitnah.

“Oleh itu kami memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Sekiranya beliau didapati gagal menarik balik kenyataan fitnah tersebut, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadapnya,” katanya di sini.

Bekas Ketua Polis Negara itu dalam kenyataan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai “bapa kafir” kerana dianggap mengelirukan umat Islam ekoran kenyataannya wajib menyokong Bersih 3.0.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai tanda membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan.

Hisham berkata, kenyataan Rahim begitu melulu sekali dan langsung tidak mencerminkan seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam pasukan polis.

Oleh itu kata beliau tindakan undang-undang akan diambil sekiranya bekas ketua polis terbabit tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf dalam tempoh ditetapkan. -HD


Rahim Noor gelar Nik Aziz 'bapa kafir'

Bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor menyifatkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai father of kafir (bapa kafir) yang didakwanya cuba memesong orang Islam bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah tanggungjawab agama.

Akhbar New Straits Times memetik Rahim sebagai berkata perkara itu bukan kali pertama Nik Aziz mengeluarkan kenyataan seperti itu yang didakwanya "mengelirukan" rakyat.

"Beberapa tahun lalu, beliau berkata penyokong Umno akan masuk neraka dan sekiranya umat Islam mahu masuk syurga, mereka kena sertai PAS.

"Dia juga berkata Umno itu kafir sebab bekerjasama dengan MCA dan MIC. Tapi lihat PAS sekarang, mereka berpakat dengan DAP, sebuah parti politik yang menolak negara Islam," katanya.

Menurut Rahim, bila ulama yang dihormati seperti Nik Aziz mengisytiharkan tanggungjawab agama menyokong BERSIH, maka rakyat melihatnya satu kewajipan sekalipun kerajaan menyatakan perhimpunan itu melanggar undang-undang.

"Dia mungkin dikenali dan dihormati sebagai ulama sebab kelayakannya tetapi beliau hanya seorang political animal yang mahu mengekalkan kuasanya di Kelantan," katanya Rahim lagi.

Semalam Nik Aziz dilapor berkata keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mengharamkan perhimpunan yang menurut majlis itu bertujuan tidak baik sepertimana yang berlaku dalam perhimpunan 28 April lalu, dibuat hanya menggunakan "sebelah mata".

Sekalipun beliau bersetuju perhimpunan yang mencetuskan huru hara dan merosakkan harta benda awam adalah haram, tetapi berpendapat BERSIH 3.0 "bukannya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara sebaliknya yang menuntut lapan perkara untuk membersihkan pilihan raya".

Mengulas lanjut, Rahim menggesa golongan muda supaya menyelidiki siapa sebenarnya penganjur BERSIH 3.0 dan tidak mengikutinya secara membuta tuli serta mendakwa rakyat melihat Nik Aziz sebagai "pelawak".

Sementara itu Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS Kelantan memberi tempoh 24 jam kepada Rahim menarik tuduhan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada Nik Aziz.

Pengerusinya Hisham Fauzi berkata kenyataan bekas ketua polis negara itu "jelas tidak matang dan bersifat fitnah".

"Sekiranya beliau didapati gagal menarik balik kenyataan fitnah tersebut, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadapnya," katanya dipetik dari Harakahdaily- mk

Komen Anda

0 Responses to "Nik Aziz Kafir, Rahim diberi 24 jam"