Thursday, 10 May 2012

Liverpool balas dendam



Liverpool menghukum kerapuhan benteng pertahanan Chelsea untuk mencatat kemenangan 4-1 pada aksi Liga Perdana England awal pagi tadi.

Kemenangan itu menebus kekecewaan Liverpool setelah tewas 1-2 kepada Chelsea pada final Piala FA di Stadium Wembley, Ahad lalu.

Bagi Chelsea, kekalahan itu telah menutup peluang mereka untuk menamatkan saingan liga musim ini dalam kelompok empat pasukan teratas.

Pada aksi di Stadium Anfield awal pagi semalam, skuad bimbingan Kenny Dalglish lebih banyak mendominasi permainan dan mendahului 3-0 ketika saingan baru bermula 27 minit.

Jaringan sendiri pemain Chelsea, Michael Essien meletakkan Liverpool di hadapan pada minit ke-18 sebelum Jordan Henderson (24), Daniel Agger (27) dan Jonjo Shelvey (61).

Gol sagu hati Chelsea pula diperoleh menerusi pemain Brazil, Ramires (49).

"Satu persembahan yang sangat baik.

"Perkara yang paling menarik adalah persembahan mantap para pemain dan keputusan perlawanan ini. Para penyokong pulang dengan wajah gembira selepas menyaksikan aksi terakhir musim ini di sini (Anfield)," kata Dalglish.

Sementara itu, pengendali sementara Chelsea, Roberto Di Matteo terpaksa membayar dengan harga yang tinggi berikutan keputusannya merombak sebahagian besar kesebelasan utama pasukan itu berbanding ketika menjulang trofi Piala FA, Ahad lalu.

Kekalahan itu melenyapkan impian Chelsea untuk meraih slot terakhir ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun, Chelsea masih berpeluang untuk beraksi pada pertandingan berprestij di Eropah itu sekiranya berjaya menewaskan Bayern Munich pada final di Stadium Allianz Arena, 20 Mei ini. - AGENSI

Komen Anda

0 Responses to "Liverpool balas dendam"