Monday, 14 May 2012

Kenapa gaji minimum Sabah, Sarawak lebih rendah

SEBAGAIMANA biasa, setelah ditekan dari arah kiri dan kanan, dari arah selatan dan utara, timur dan barat, dan bukannya kerana keprihatinan ikhlas, atau rasa belas kasihan atau juga rasa kepedulian terhadap rakyat marhaen serta golongan pekerja dalam kategori berpendapatan rendah, akhirnya kerajaan Umno-BN tidak ada pilihan lain melainkan meluluskan undangundang bersabit gaji minimum.

Besar juga kebarangkalian sekiranya permasalahan yang dibangkitkan oleh kesatuan sekerja dan Pembangkang berdasarkan maklum balas daripada golongan pekerja kategori ini sendiri tidak diberikan perhatian, ia akan menjadi barah kepada kerajaan BN serta mengakibatkan merosotnya lagi saki-baki mereka yang masih mahu mengundi dan merasakan bahawa BN adalah parti terbaik untuk memerintah kerajaan.

Menurut ceritanya, atau laporan media, kerajaan, menerusi sebuah jawatankuasa khusus untuk tujuan ini, telah mengambil masa selama kirakira setahun bagi akhirnya memutuskan gaji minimum RM900 bagi pekerja diSemenanjung dan RM800 bagi pekerja di Sabah dan Sarawak.

Tidaklah diketahui atas dasar apakah perkiraan terakhir ini dibuat. Paling penting, apakah angka tersebut adalah realistik dan mencerminkan ke arah penyelesaian masalah kategori pekerja golongan ini.

Dalam membuat keputusan untuk tunduk kepada tekanan ini, elemen ‘melepaskan batuk di tangga’ tampak begitu ketara.

Dalam lain perkataan keputusan dibuat bukan kerana untuk menyelesaikan masalah rakyat tetapi untuk menyelesaikan masalah Umno-BN yang dirundung pelbagai musibah menjelang PRU13.

Sekiranya Umno-BN merasakan keputusan ini akan disambut dengan ‘hooray!’ serta sorak sorai oleh mereka yang terbabit atau yakin mereka bakal mengatakan, ‘lihat betapa prihatinnya kerajaan BN ke atas kita’, maka sekali lagi betapa para pemikir dan pembuat keputusan dalam Umno-BN gagal untuk memikirkan secara jelas.

Tanpa mewujudkan sebarang jawatankuasa dan tanpa membuat sebarang kajian sekalipun, setiap rakyat Malaysia sedia maklum betapa harga barangan di Sabah dan Sarawak adalah lebih mahal berbanding dengan di Semenanjung. Justeru di mana logiknya kadar gaji minimum di Sabah dan Sarawak lebih rendah daripada di Semenanjung.

Dalam pada itu ada pula pemimpin dan bekas pemimpin tertinggi kerajaan BN yang merasakan kadar gaji minimum yang ditetapkan itu adalah terlalu tinggi untuk golongan pekerja kategori tersebut.

Tidaklah dapat dipastikan mengapakah terdapatnya komen sebegitu sedangkan jumlah gaji minimum yang dituntut oleh kebanyakan pihak adalah melepasi had RM1,000.

Namun apa yang pasti, sejak dari dulu lagi kerajaan BN begitu enggan, bukan sahaja menggubal undang-undang gaji minimum ini bagi melindungi pekerjanya, malah untuk mempertimbangkannya pun adalah sesuatu yang dianggap ‘taboo’.

Ada pemerhati ekonomi yang mengatakan keengganan ini berpunca daripada kerajaan BN mahu mengekalkan Malaysia sebagai sebuah destinasi FDI yang diklasifikasikan sebagai mempunyai bekalan tenaga buruh mudah dan sesuai untuk industri berintensifkan buruh.

Mereka melihat semacam ada satu eksploitasi golongan pekerja dalam kategori ini dilakukan oleh pelabur asing. Syak wasangka ini diperkukuhkan lagi dengan penubuhan kesatuan sekerja dalaman atau in-houseunion yang dilihat sebagai tidak berkesan sama sekali dalam mendengar rungutan para pekerja.

Dalam pada itu terdapat juga golongan pemerhati ekonomi yang merasakan keengganan dan keseganan kerajaan untuk memberikan pertimbangan terbaik ke atas perlindungan pekerja adalah diperjelaskan dengan struktur percukaian korporat yang dikatakan sentiasa menyebelahi golongan kapitalis berbanding buruh.

Sebarang penetapan berkanun mengenai gaji sudah tentu akan menjejaskan keuntungan korporat dan mengakibatkan cukai yang dipungut juga akan merosot dan memberi impak negatif terhadap hasil yang diterima oleh kerajaan. Bukan itu sahaja, malah ia akan turut menyebabkan sesetengah syarikat gulung tikar kerana tidak berkeupayaan menampung kos emolumen yang meningkat.

Sekiranya ini berlaku, maka tidak akan ada lagi cukai korporat yang boleh dipungut daripada syarikat yang bankrap atau solven ini. Justeru untuk menghindarkan perkara ini berlaku, maka pekerja golongan rendah terpaksa menjadi mangsa.

Sebenarnya apa yang harus dilakukan ialah kerajaan perlu melihat permasalahan ini dalam skop dan gambaran ekonomi lebih luas. Anak kunci kepada penyelesaian kepada permasalahan ini ialah pengurusan dana kerajaan dari sumber bukan cukai, misalnya perolehan daripada Petronas, yang lebih berkesan dan meluluskan projek infrastruktur menurut keutamaan dan kepentingan dan bukan kerana amalan politik naungan sebagaimana yang dilihat berlaku kini.

Masalah mencari kesamaan di antara pelbagai faktor ekonomi sehingga akhirnya mencapai satu kadar yang munasabah untuk pekerja menerusi undangundang sebenarnya juga pernah dialami oleh negaranegara lain sebelum mereka memperkenalkan undangundang gaji minimum. Bezanya, sementara di negara-negara tersebut, kerajaan berusaha mengagihkan kekayaan untuk rakyat, di Malaysia terdapat kecenderungan kerajaan berusaha membahagi-bahagikan kekayaan kepada segelintir orang.

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT (detikdaily)

Komen Anda

0 Responses to "Kenapa gaji minimum Sabah, Sarawak lebih rendah"