Friday, 11 May 2012

Global: Syed Mokhtar wajar ambil alih MAS

Oleh kerana banyak perniagaan besar diambilalih oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, beliau sepatutnya mengambilalih MAS untuk bersaing di peringkat global, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar).

Mengulas laporan bahawa Syed Mokhtar adalah calon utama untuk mengambilalih 45 peratus pegangan Khazanah Nasional Berhad dalam Time Engineering Berhad, Mohamad berharap tokoh korporat yang banyak mengambilalih perniagaan-perniagaan strategik itu tidak hanya mengambilalih perniagaan-perniagaan dan perkhidmatan-perkhidmatan monopoli sahaja.

"Saya banyak mendengar dakwaan bahawa kroni-kroni hanya berani mengambilalih perniagaan-perniagaan dan perkhidmatan-perkhidmatan monopoli sahaja.

"Perniagaan yang memerlukan persaingan apa lagi di peringkat global seperti MAS, mereka tak mahu kerana takut bersaing," kata beliau sambil berharap Syed Mokhtar tidak termasuk dalam golongan itu.

Terutama ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Syed Mokhtar sering dilaporkan sebagai tokoh korporat yang menjadi kesayangan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, peluang Syed Mokhtar dilihat banyak tersekat di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

"Saya tak mahulah cabar, tetapi kalau Syed Mokhtar betul-betul hebat berniaga, dia patut ambil alih MAS yang tak henti-henti rugi dan jadikan syarikat penerbangan nasional itu sebagai syarikat untung.

"Tetapi janganlah ambilalih MAS, lingkupkannya dan lepas itu jual balik saham MAS kepada kerajaan dengan harga yang berkali-kali ganda tinggi,"kata Mohamad.

Mengulas lanjut mengenai pengambilalihan Time Engineering, beliau melihat tindakan itu akan menjadikan Syed Mokhtar antara orang yang paling berkuasa di negara ini.

"Dia akan jadi king of logistics," katanya.

Syed Mokhtar menguasai pelabuhan-pelabuhan Johor, Tanjong Pelepas dan Pulau Pinang ketika laporan-laporan juga menyatakan beliau sedang berusaha untuk mengambilalih Northport Berhad di Pelabuhan Kelang di samping berusaha menguasai PLUS Expressways Berhad dan KTM Berhad.

"Bila dia ambil alih Time Engineering, saya diberitahu Syed Mokhtar bukan sahaja menguasai infrastruktur yang fizikal, urusan kastam pun di dalam tangannya," kata Mohamad.

Time Engineering mempunyai 71.3 peratus pegangan dalam Dagang Net Technologies Sdn Bhd yang mana perniagaan terasnya ialah Sistem Maklumat Kastam Dagang Net.

"Saya difahamkan, urusan keluar masuk barang di negara ini dibuat melalui Dagang Net, bayangkanlah kekuasaan Syed Mokhtar apabila dia menguasai Time Engineering," katanya lagi.

Sebelum ini Mohamad pernah mempersoalkan adakah urusniaga-urusniaga yang melibatkan Syed Mokhtar mempunyai kaitan dengan menambahkan dana pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN).

Malaysian Insider pernah melaporkan bahawa pihaknya difahamkan bahawa Syed Mokhtar muncul sebagai penyumbang utama dana kepada Umno selepas ahli-ahli perniagaan Cina tempatan keberatan ekoran kekurangan kontrak di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

-Harakahdaily

Komen Anda

0 Responses to "Global: Syed Mokhtar wajar ambil alih MAS"